SHAH ALAM: Anak syarikat Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) perlu mempertingkatkan kompetensi dan integriti bagi memulihkan persepsi awam terhadapnya.
Langkah itu penting supaya sayap pelaburan universiti itu mampu terus beroperasi dan melaksanakan pelan perniagaannya selain diberi kepercayaan bagi melaksanakan projek-projek dalaman kampus.
Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan pelan pemulihan dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk universiti serta kerajaan.
“Pemulihan itu penting kerana setiap perkara yang berlaku terhadap UiTM Holdings ditanggung oleh UiTM. Keuntungannya adalah keuntungan universiti begitu juga kerugiannya adalah kerugian UiTM.
“Justeru pelan perniagaannya memerlukan sokongan kerana melibatkan rentas agensi terutama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebab banyak aset-aset milik UiTM boleh dikembangkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ahli Lembaga Pengarah UiTM itu memaklumkan, beliau memohon supaya kaedah first right of refusal (FROR) atau ‘hak penolakan pertama’ diberikan kepada anak syarikat universiti bagi melaksanakan projek-projek dalam kampus.
“Projek pembangunan dalam kampus seharusnya diberi keutamaan kepada anak syarikat supaya aliran tunai itu akhirnya kembali kepada universiti itu sendiri. Ia tidak terus mengalir keluar.
“Bagaimanapun, pengurusan anak syarikat perlu memastikan tahap kompetensi, integriti dan tadbir urus yang baik sesuai sebagai syarikat yang diberi tanggungjawab,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh memberitahu, sasaran RM90 juta yang ditetapkan adalah nilai jualan (revenue) yang dijangka boleh dicapai menerusi pengeoperasian ladang solar serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
“Isu kerosakan transformer ladang solar di Gambang, Kuantan sudah pun diselesaikan. Cuma kita sedang berdepan masalah ring management unit (RMU) iaitu salah satu komponen dalam ladang solar di Pasir Gudang, Johor Bahru.
“Gantian komponen itu diimport dari China dan akan sampai dalam masa terdekat,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, UiTM Holdings berjaya mengecilkan hampir 90 peratus kerugian yang dialaminya pada setiap bulan daripada RM1.5 juta pada tahun lalu kepada RM145,000 berdasarkan akaun terbaharu bagi Ogos lalu.
Langkah tersebut meletakkan sayap pelaburan UiTM itu di landasan tepat untuk mencapai sasaran nilai jualan sehingga RM90 juta pada tahun hadapan menerusi pelan pemulihan dan rancangan perniagaan bagi tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN











