PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan akan didakwa di mahkamah Khamis ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat bernilai kira-kira RM42 juta.
Pendakwaan itu susulan penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung beberapa isu yang dipercayai menyumbang kepada kerugian dialami UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) pada 2023.
Satu sumber memaklumkan, suspek telah ditahan kira-kira pukul 1 petang semalam di kediamannya di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2017 dengan membuat pembayaran berkaitan perbelanjaan operasi kepada beberapa buah syarikat yang dipercayai suspek mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada 27 September lalu, SPRM memaklumkan akan menjalankan siasatan babit kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023.
Siasatan tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
Selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN











