RM157 juta kerugian legasi UiTM Holdings

RM157 juta kerugian legasi UiTM Holdings

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerugian terkumpul RM157 juta yang dialami UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) adalah isu legasi bagi tempoh 2017 hingga 2021 dan bukannya kerugian baharu di bawah pengurusan terkini.

Pengerusinya, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kepimpinan baharu komited menyelesaikan kemelut berkenaan dan menjadikan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai momentum untuk mempercepatkan proses pemulihan.

“Angka RM157 juta itu sudah dilaporkan sejak 2023 dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika itu menjelaskan ia kerugian terkumpul 2017 hingga 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu ini turut diteliti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 dan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum laporan dibentangkan pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fakta berkenaan merupakan kronologi dan isu legasi yang perlu dikenal pasti untuk diselesaikan, bukannya dijadikan alasan.

“Ini fakta kronologi dan isu legasi. Kami tidak menggunakan isu ini sebagai alasan, sebaliknya mengenal pasti masalah untuk diselesaikan,” katanya.

Kepimpinan UiTM Holdings kini diterajui Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Januari 2025 manakala Dr. Fathul Bari dilantik sebagai Pengerusi pada Ogos tahun sama.

Dr. Fathul Bari berkata, kepimpinan baharu wajar dinilai berdasarkan integriti, pelaksanaan dan hasil kerja semasa bagi menamatkan defisit kepercayaan yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan usaha pemulihan syarikat pegangan universiti berkenaan.

“Ini bukan isu politik, tetapi pemulihan aset milik universiti. Jika UiTM Holdings kukuh, nilainya kembali kepada UiTM. Jika lemah, universiti juga menerima kesannya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan meneliti kerangka nasional bagi memberi First Right of Refusal (FROR) atau hak penolakan pertama kepada syarikat universiti awam.

“FROR ini bukan projek percuma atau monopoli, tetapi peluang pertama untuk bersaing secara profesional berasaskan merit, due diligence (usaha wajar) dan daya saing dalam ekosistem universiti masing-masing.

“Sekiranya syarikat universiti mampu melaksanakan secara kompetitif, adalah lebih strategik jika nilai ekonomi itu kekal dan keuntungannya kembali memperkukuhkan universiti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings.

SPRM mengesahkan siasatan yang bermula pada 2023 masih berjalan, termasuk meneliti isu berkaitan projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang serta kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan.

Siasatan SPRM itu memberi fokus kepada beberapa isu khususnya membabitkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga kerugian jutaan ringgit.

Seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan turut ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam siasatan berkaitan isu kerugian pelaburan UiTM Holdings.

Difahamkan, suspek dalam lingkungan usia 50-an disyaki melakukan aktiviti berkenaan bagi urusan pembayaran perbelanjaan operasi sebanyak kira-kira RM42 juta kepada beberapa syarikat.

UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×