SSM terima laporan kewangan 2020 UiTM Holdings Februari lalu - Utusan Malaysia

SSM terima laporan kewangan 2020 UiTM Holdings Februari lalu

UiTM Holdings
AHMAD Sabki Yusof ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Semarak Daya Niaga Usahawan, di Pusat Borong GM Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak mengambil tindakan lanjut ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) kerana syarikat itu sudah menyerahkan laporan kewangan 2020 pada Februari lalu.

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata, anak syarikat Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu didapati mematuhi arahan dan ketetapan pihaknya.

Jelas beliau, SSM sebelum ini sememangnya mengeluarkan arahan inkuari berhubung laporan kewangan tahun tersebut.

“Pemeriksaan mendapati UiTM Holdings mematuhi arahan itu dan menyerahkannya pada Februari tahun ini. Justeru, tiada sebarang tindakan lanjut diambil mengikut Akta Syarikat 2016,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Daya Niaga Usahawan di Kompleks Perniagaan GM Klang, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sayap pelaburan UiTM yang sepatutnya menjana pendapatan kepada universiti itu direkodkan kerugian RM157.04 juta bagi tempoh empat tahun berturut-turut.

Menerusi laporan kewa­ngan pada 2011 hingga 2021, syarikat itu didapati tidak memaklumkan laporan kewa­ngannya bagi tahun 2020, jus­teru kerugian terkumpul dicatatkan dalam tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM157.8 juta.

Namun sehingga 2021,UiTM Holdings menanggung hutang sebanyak RM293 juta iaitu pada kadar 64 peratus berbanding jumlah aset RM456 juta, sementara liabiliti semasanya berjumlah RM74.92 juta.

Bulan lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi memaklumkan suntikan modal sebanyak RM259.98 juta oleh UiTM kepada UiTM Holdings tidak mempunyai kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan Akta UiTM 1976.

Perkara itu antara isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan. 

Mengulas lanjut, Ahmad Sabki menjelaskan, semua syarikat diwajibkan menyerahkan laporan kewangan kepada SSM setiap tahun.

“Suruhanjaya ini berfungsi untuk melakukan pengauditan laporan itu menerusi juruaudit luar. Ia kemudian melibatkan proses serah dan simpan semua maklumat berkenaan di SSM,” ujarnya.

Ditanya mengenai isu UiTM Holdings memberikan dividen kepada pelabur tanpa memaklumkan laporan kewangannya, beliau berkata, perkara itu lebih melibatkan kepada LKAN.

Difahamkan, satu laporan berkaitan laporan LKAN itu akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Selangor di Shah Alam petang ini.

UiTM sebelum ini digesa mengambil tindakan mahkamah supaya kepincangan UiTM Holdings dapat dibongkar termasuk seandainya wujud ‘tangan ghaib’ yang cuba mengambil kesempatan terhadap syarikat berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya