Snorkeling bersendirian tidak dibenarkan susulan penampakan buaya

Snorkeling bersendirian tidak dibenarkan susulan penampakan buaya

GAMBAR tular penampakan buaya Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) - gambar tular di laman media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Aktiviti snorkeling dan berenang secara bersendirian di Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), tidak dibenarkan susulan penampakan seekor buaya di perairan Pantai B, kawasan berkenaan pada 5 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, aktiviti air berkenaan perlu dilakukan secara berkumpulan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Beliau berkata, Taman-Taman Sabah turut mempertingkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di kawasan berkenaan, termasuk menjalankan rondaan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

“Keselamatan pengunjung adalah keutamaan dan saya telah meminta Taman-Taman Sabah serta Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil segala langkah yang perlu, termasuk meningkatkan pemantauan dan operasi pengesanan di kawasan berkenaan.

“Orang ramai dan pengunjung diminta memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh petugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jafry berkata, semua pengusaha pelancongan yang menjalankan aktiviti air termasuk selam skuba, snorkeling dan sea walking diarahkan membuat pemeriksaan awal di kawasan aktiviti sebelum membenarkan pelancong memasuki air.

Katanya, papan tanda amaran mengenai kehadiran buaya turut dipasang di kawasan berkaitan, manakala petugas penyelamat akan memberikan hebahan dan peringatan secara berterusan kepada pengunjung.

“Makluman mengenai langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan juga telah disampaikan kepada semua pemain industri pelancongan yang beroperasi dalam kawasan TTAR,” katanya.

Dalam pada itu, Taman-Taman Sabah bersama JHL menjalankan operasi khas mengesan buaya berkenaan, termasuk memasang pukat di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi.

Menurutnya, pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan hidupan marin lain, khususnya penyu, tidak terperangkap dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi pengesanan itu turut membolehkan tindakan pemindahan dilaksanakan sekiranya buaya berkenaan berjaya dikesan.

Pengunjung diminta mematuhi arahan petugas dan pengusaha aktiviti air serta segera memaklumkan kepada petugas sekiranya berlaku sebarang penampakan buaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini