BATU PAHAT: Noorwandi A. Rahim, 41, gagal menahan sebak selepas melihat empat anaknya bergelimpangan atas jalan raya selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Melaka, dekat Bagan, di sini malam tadi.
Lebih memilukan, salah seorang daripada anaknya, Putera Muhaimin Qudrat Noorwandi, 16, disahkan maut dalam kejadian berkenaan yang dilaporkan berlaku pada pukul 10 malam.
“Saya terima panggilan daripada adik yang memaklumkan kereta dinaiki anak, adik perempuan dan suaminya terlibat dalam kemalangan. Ketika itu, saya dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, baharu tiba di rumah selepas keluar makan malam.
“Saya dan isteri naik motosikal, manakala anak-anak menaiki kereta dipandu adik ipar. Sebaik tiba di lokasi, saya lihat anak-anak bergelimpangan, dengan Putera Muhaimin Qudrat tertiarap dengan mukanya dipenuhi pasir dan petrol.
“Saya sempat membaringkan anak sebelum dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas tidak lama kemudian. Walaupun pasukan perubatan cuba memberi bantuan, tetapi dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.
Tambah Noorwandi, ketika itu adik iparnya, Nor Azlan Shaharudin, 27, masih tersepit di tempat duduk pemandu.
“Anak bongsu saya, Putera Aidin Firdaus, 3, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital akibat pendarahan di kepala serta patah kedua-dua tangan, kaki dan bahu. Manakala Puteri Nur Fairuza Balqis, 15, patah paha, cedera di dada dan sedikit pendarahan di kepala.
“Seorang lagi anak saya iaitu Putera Khairunas, 11, mengalami luka ringan dan keadaannya stabil. Sementara itu adik ipar saya iaitu Rahmah A. Rahim, 26, berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN











