KUALA PILAH: Seorang lelaki yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Tanjung Ipoh, di sini, pagi tadi, disahkan positif dadah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pemeriksaan terhadap kereta dipandu lelaki berusia 39 tahun itu turut menemukan satu paket plastik mengandungi serbuk putih atau lutsinar yang dipercayai dadah jenis ketamin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu berlaku apabila kereta sedan yang dipandu lelaki berkenaan dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban sebelum melanggar bahagian belakang sebuah motosikal.
“Pemandu itu tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing dan melintang di atas jalan sebelum dilanggar tiga kenderaan lain yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, pemandu berkenaan mengalami kecederaan patah tangan kanan, manakala seorang penunggang motosikal cedera ringan.
“Bagaimanapun, mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sehubungan, itu beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 58 saat yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Tanjung Ipoh, di sini.
Rakaman itu menunjukkan kereta berkenaan dipandu secara melulu sebelum merempuh sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh di atas jalan, manakala pemandunya meneruskan perjalanan.
Kereta itu kemudian dilihat memasuki laluan bertentangan sebelum hampir terbabas ke dalam semak di bahu jalan.
Tidak lama kemudian, kereta berkenaan dirakam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal yang melalui laluan itu. – UTUSAN











