Sekolah, alumni SMK St. Paul nafi pelajar hidang minuman alkohol

Sekolah, alumni SMK St. Paul nafi pelajar hidang minuman alkohol

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak sekolah dan Persatuan Bekas Murid St. Paul (OPA) menafikan dakwaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul terlibat dalam penyajian minuman beralkohol pada majlis makan malam persatuan itu di Regent Hall, di sini, pada 5 September lalu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, pihaknya bagaimanapun sedang meneliti semua keterangan bagi mengenal pasti fakta sebenar berhubung dakwaan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, majlis itu dianjurkan oleh persatuan alumni berkenaan di luar kawasan sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak sekolah dan persatuan alumni telah menafikan dakwaan bahawa murid terlibat dalam penyajian minuman beralkohol.

“Walau bagaimanapun, JPNS sedang meneliti semua keterangan termasuk penglibatan murid dalam majlis berkenaan bagi memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPNS dalam pada itu menegaskan murid sekolah tidak sepatutnya dilibatkan dalam aktiviti mengendalikan atau menghidangkan minuman beralkohol.

Katanya, kebajikan, keselamatan dan maruah murid perlu sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira pihak yang menganjurkan sesuatu program.

Dalam pada itu, JPNS memaklumkan siasatan terhadap aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sedang dimuktamadkan, termasuk penelitian terhadap pematuhan prosedur oleh pihak sekolah.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau kecuaian dalam pelaksanaan tanggungjawab, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

“JPNS akan memastikan setiap dapatan siasatan diteliti secara menyeluruh dan tindakan susulan dilaksanakan demi melindungi kepentingan murid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini