Henti sikap perlekeh isu alkohol

Henti sikap perlekeh isu alkohol

KALAU kita tolak ketepi soal halal atau haram, insiden ini menunjukkan rasa tidak sensitif seorang pemimpin institusi kebangaan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU Tourism Malaysia menghidangkan alkohol dalam acara rasmi serta tindakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas menyembur champagne meraikan kemenangan pasukan F1 yang ditaja Petronas amat memalukan dan tidak boleh dipandang ringan. Ini bukan soal kecil, ini soal maruah negara dan sensitiviti umat Islam.

Dalam acara-acara rasmi di Malaysia, minuman keras memang dilarang. Ini peraturan yang jelas. Kita harus menghormati sensitiviti antara kaum. Tiada guna menegak benang yang basah.

Alkohol adalah perkara jelas haram bagi orang Islam. Apabila institusi negara dan tokoh terkemuka memperagakan alkohol seolah-olah ia lambang kejayaan, ia mencabar perasaan majoriti rakyat. Lebih parah, ia memberi mesej bahawa kedudukan tinggi memberi lesen untuk melanggar nilai yang rakyat sendiri diingatkan untuk patuhi.

Apatah lagi menyembur champagne yang mewah ketika rakyat Malaysia sedang bersusah-payah berhadapan kos sara hidup tinggi dan Petronas membuang beribu-ribu pekerjanya tahun ini. Kalau kita tolak ketepi soal halal atau haram, insiden ini menunjukkan rasa tidak sensitif seorang pemimpin institusi kebangaan negara.

Benar, CEO Petronas, Tengku Taufik sudah meminta maaf atas kekhilafannya. Ini satu tindakan yang terpuji. Namun, adakah itu cukup? Jika rakyat biasa melakukan perkara sama, tentu kecaman dan tindakan akan segera diambil. Mengapa bila melibatkan tokoh besar, ia dianggap selesai dengan hanya permohonan maaf? Ramai netizen membangkitkan persoalan yang sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menegaskan nilai Islam dan moral dalam pentadbiran Kerajaan Madani. Kini rakyat menunggu bukti bahawa kerajaan benar-benar bertindak tegas dalam isu ini.

Pemimpin dan institusi negara mesti sedar: Mereka membawa nama Malaysia. Jangan biarkan imej kita rosak hanya kerana glamor dan gaya hidup ala Barat yang tidak sesuai dengan nilai kita.

Rakyat mahu tindakan segera, bukan sekadar alasan. Saya amat berharap Perdana Menteri dapat mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan rakyat tentang ketegasan kerajaan dalam menegakkan syiar Islam dalam pentadbiran. – UTUSAN

ADAM SHAMSUDDIN
Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×