PETALING JAYA: PMW International Berhad (PMW) menerusi anak syarikat miliknya, PMW Marketing Sdn. Bhd. (PMSB) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) bersama empat anak syarikat EDOTCO Group Sdn. Bhd. (EDOTCO) bagi melanjutkan Perjanjian Kerangka Induk (MFA) pembekalan tiang konkrit sehingga April 2029.
Lanjutan perjanjian berkenaan merangkumi kerja-kerja mereka bentuk, memfabrikasi dan membekalkan tiang konkrit putar sehingga ketinggian 30 meter, termasuk Tiang Konkrit Pratertegangan Dipertingkat Biochar dan tiang monopoli konkrit bagi aplikasi infrastruktur telekomunikasi.
Sejak MFA asal dimeterai pada Mei 2024, kumpulan itu telah membekalkan tiang monopoli konkrit bernilai kira-kira RM10 juta untuk 292 tapak telekomunikasi setakat ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, SA berkenaan memberi kerangka kerja kepada kumpulan untuk terus memenuhi keperluan tiang konkrit EDOTCO dalam menyokong agenda digitalisasi negara.
“Sokongan berterusan ini bukan sahaja menjadi isyarat kepercayaaan terhadap keupayaan teknikal kami, malah membuktikan keyakinan terhadap kebolehpercayaan dan inovasi syarikat dalam mempersembahkan rekaan mampan serta berteknologi tinggi.
“Kerjasama ini membolehkan kami terus bergandingan dengan EDOTCO bagi memajukan usaha digitalisasi negara secara mampan dan progresif,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO Group, Gayan Koralage berkata, kerjasama jangka panjang bersama PMW menekankan kepentingan rakan ekosistem yang kukuh dalam memajukan infrastruktur telekomunikasi.
“Menerusi fokus bersama terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan penambahbaikan berterusan, kami memperkukuh keupayaan untuk menyokong keperluan ketersambungan perniagaan dan komuniti yang kian berkembang,” katanya.
Pembaruan perjanjian itu sekali gus memperkukuh kedudukan PMW dalam sektor infrastruktur digital, melengkapi penglibatan kumpulan dalam projek utama lain seperti Pusat Data Google dan Projek Infrastruktur Point of Presence Fasa 2 (POP2).
Selain sektor infrastruktur, pengangkutan dan utiliti, syarikat turut berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan sektor tenaga boleh baharu, pusat data serta pemerkasaan ekonomi digital Malaysia menjelang 2030. –UTUSAN











