Kerajaan digesa perjelas garis masa lantikan farmasi kontrak

Kerajaan digesa perjelas garis masa lantikan farmasi kontrak

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan memberikan kejelasan berhubung kuota dan garis masa pelantikan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.

Presiden MPS, Profesor Amrahi Buang berkata, langkah tersebut penting susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang memaklumkan KKM akan mengesyorkan penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.

Menurut beliau, MPS menyambut baik penjelasan berkenaan, terutamanya kepastian bahawa pelantikan tetap untuk pegawai farmasi dan pergigian akan diusahakan menerusi kuota baharu yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap pegawai perubatan di bawah Belanjawan 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga Julai 2026, seramai 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat dengan KKM, manakala 115 lagi berada dalam senarai simpanan atau menantikan pelantikan tetap.

“Komitmen ke arah pelantikan tetap ini merupakan langkah pertama yang amat penting. Namun, profesion ini kini memerlukan kejelasan mengenai berapa banyak jawatan yang akan diwujudkan, siapa yang akan dipertimbangkan, serta bilakah pelaksanaan ini akan berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, KKM akan mengesyorkan penyerapan pegawai pergigian dan farmasi berstatus kontrak ke jawatan tetap untuk pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF) serta Jemaah Menteri, dalam usaha memastikan masa depan serta kebajikan golongan itu terpelihara.

Dzulkefly berkata, cadangan tersebut akan diusahakan dalam tempoh yang munasabah berlandaskan pendekatan yang sebelum ini digunakan bagi menangani isu doktor perubatan kontrak.

Dalam pada itu, Amrahi berkata, MPS akan mengemukakan enam tuntutan kejelasan daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata, antaranya adalah merangkumi jumlah kuota jawatan tetap yang bakal dicadangkan, garis masa kelulusan oleh MOF dan Kabinet, serta kriteria kelayakan mengikut kohort pegawai.

“MPS turut akan meminta kepastian mengenai status 115 pegawai dalam senarai simpanan sama ada akan diberi keutamaan, nasib pegawai yang telah tamat tempoh kontrak tetapi masih mahu berkhidmat, serta mekanisme pemilihan yang telus berasaskan pengalaman dan senioriti,” katanya.

Tambahnya, penyelesaian jangka panjang isu pegawai farmasi kontrak perlu menjadi sebahagian daripada strategi tenaga kerja farmasi yang mampan dan berasaskan keperluan perkhidmatan sebenar di dalam sistem kesihatan negara.

“MPS menerusi Bab Pegawai Farmasi Awam (Public Pharmacists Chapter) akan terus mengumpul maklum balas daripada pegawai terjejas dan bersedia untuk terlibat secara konstruktif bersama KKM serta agensi berkaitan bagi membangunkan mekanisme pelantikan ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini