Farmasi komuniti perlu lesen untuk ambil darah

Farmasi komuniti perlu lesen untuk ambil darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Premis farmasi komuniti yang menawarkan perkhidmatan pengambilan darah bagi tujuan saringan kesihatan perlu mendapatkan lesen sebagai fasiliti jagaan kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, prosedur tersebut diklasifikasikan sebagai perkhidmatan jagaan kesihatan dan tertakluk di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Katanya, mana-mana premis yang menjalankan perkhidmatan itu tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum enam tahun.

“Pengambilan darah merupakan suatu prosedur klinikal yang memerlukan pematuhan kepada standard keselamatan serta pengurusan risiko yang sewajarnya dan perlu dilaksanakan di fasiliti kesihatan yang mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, berdasarkan kepada kerangka perundangan sedia ada, premis yang menjalankan aktiviti pengambilan darah disifatkan menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan yang tertakluk kepada keperluan pendaftaran dan pelesenan bawah Akta 586,” katanya.

KKM akan mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua perkhidmatan berkaitan kesihatan dilaksanakan di premis yang berdaftar dan berlesen.

“Penegasan kepada keperluan pelesenan dan pendaftaran ini adalah penting untuk memastikan keselamatan, kualiti dan akauntabiliti perkhidmatan kepada masyarakat serta melindungi farmasi komuniti daripada risiko undang-undang dan reputasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN