DAPSY gesa pecat Tok Mat, semak semula kerjasama PH-BN

DAPSY gesa pecat Tok Mat, semak semula kerjasama PH-BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada jawatan Menteri Luar, atas dakwaan penglibatan menggugat kestabilan kerajaan.

Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, M. Kusaaliny berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya dakwaan tersebut benar bagi memastikan prinsip kolektif dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus dipelihara.

Katanya, tindakan menyokong gerakan menjatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan beberapa hari lalu merupakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

“Kami memandang serius laporan mengenai penglibatan pemimpin kanan UMNO dalam gerakan yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Persekutuan atau lebih dikenali sebagai ‘Langkah Tebuk Atap’.

“Tindakan beliau yang didakwa menyokong usaha menjatuhkan kerajaan beberapa hari lalu adalah satu pengkhianatan. Tiada ruang untuk musuh dalam selimut dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kusaaliny berkata, krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan juga berpunca daripada percaturan politik dalaman UMNO.

“UMNO perlu jujur kepada rakyat. Krisis yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini adalah rentetan daripada percaturan politik dalaman mereka sendiri.

“Adakah ini sekadar alasan untuk menuntut kembali jawatan-jawatan yang hilang akibat kegagalan mereka mengekalkan kepercayaan ahli sendiri?

“Adakah UMNO sudah hilang rasa malu apabila terus-menerus membebankan rakyat dengan polemik kuasa di saat rakyat mahukan kestabilan?,” katanya.

DAPSY turut meminta kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) menyemak semula kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat bagi memastikan ia terus berlandaskan integriti dan kestabilan politik negara.

“Melihat kepada ketidaktentuan dan provokasi politik yang dicetuskan oleh rakan kerjasama ini, kami menggesa kepimpinan tertinggi PH untuk mengkaji semula hubungan kerjasama di peringkat pusat.

“Kerjasama ini seharusnya dibina atas dasar integriti dan kestabilan, bukannya menjadi tebusan kepada tuntutan melampau sebuah parti yang sering berubah haluan demi kelangsungan kuasa individu tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN