KUALA LUMPUR: Kesejahteraan pekerja perlu dilihat sebagai standard baharu dalam persekitaran kerja moden, bukan lagi sekadar nilai tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping berkata, konsep itu diterjemahkan menerusi WORQ Well yang menggabungkan elemen produktiviti, komuniti dan kesejahteraan dalam satu ekosistem ruang kerja.
Katanya, inisiatif berkenaan diperkenalkan bukan sahaja untuk syarikat besar, malah bagi membolehkan syarikat kecil, usahawan dan pekerja bebas turut mendapat akses kepada persekitaran kerja berkualiti.
“Kita mahu meningkatkan standard kesejahteraan pekerja di negara ini. Jika tiada yang memulakan standard ini, industri tidak akan bergerak.
“Matlamat kami bukan sekadar menawarkan ruang kerja, tetapi mewujudkan ekosistem yang membantu pekerja lebih sihat, gembira dan produktif,” katanya pada program WORQ Well Media & Creators Experience Day di WORQ Well, KL Eco City, di sini hari ini.
Selain itu, konsep berkenaan turut disokong fasiliti seperti kolam renang, sauna, bilik terapi, napping pods serta aktiviti komuniti dan pembangunan kemahiran yang menjadi sebahagian pengalaman tempat kerja.
Menurutnya, pendekatan itu selari perubahan landskap pekerjaan yang kini memberi penekanan kepada keseimbangan hidup dan persaingan mendapatkan bakat berkualiti.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan WORQ, Andrew Yeow berkata, produktiviti dan kesejahteraan tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan.
“Model kerja masa kini perlu menyesuaikan pekerjaan dengan kehidupan pekerja, bukan sebaliknya.
“Kita mahu kerja menyesuaikan diri dengan kehidupan, bukan kehidupan tunduk sepenuhnya kepada kerja.
“Apabila pekerja ada pilihan, fleksibiliti dan persekitaran lebih sihat, produktiviti juga akan meningkat secara lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










