PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta memperketat pemantauan terhadap farmasi di seluruh negara bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga ubat-ubatan sehingga membebankan pesakit dan warga emas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, majoriti bekalan ubat-ubatan negara ketika ini masih berada pada tahap stabil dan mencukupi setakat 8 Mei lalu.
Menurut beliau, daripada keseluruhan item ubat yang direkodkan, sebanyak 72 peratus berada pada tahap risiko rendah, 11.3 peratus risiko sederhana dan 16.8 peratus lagi dikategorikan sebagai risiko tinggi yang memerlukan pemantauan serta tindakan mitigasi berterusan.
“Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus (risiko sederhana), manakala 4.8 peratus dikenal pasti berisiko tinggi.
“Bekalan bahan mentah dan komponen utama yang berisiko tinggi akibat kebergantungan kepada sumber import,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan tidak mahu rakyat berdepan kesukaran mendapatkan rawatan akibat gangguan bekalan ubat dan peranti perubatan.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memberikan jaminan kepada pesakit dan warga emas bahawa bekalan ubat negara dan peranti perubatan adalah stabil dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menerusi KKM telah mengambil langkah mitigasi secara berfasa dan tersusun sejak awal krisis mula berlaku.
Katanya, antara langkah diambil termasuk pemantauan bekalan secara berkala melalui Pasukan Petugas Khas serta pengukuhan stok penimbal nasional bagi item ubat berisiko tinggi secara segera.
“Selain itu diversifikasi sumber bekalan melalui kerjasama strategik dengan negara seperti China, Jepun dan Uzbekistan, serta laluan akses khas iaitu mengaktifkan Special Access Pathway bagi mempercepatkan kelulusan import ubat kritikal.
“Langkah lain pula adalah pembangunan industri tempatan bagi memperkasa pembuat peranti perubatan nasional ke arah pengurangan kebergantungan terhadap produk import,” katanya.
Tambah beliau, MTEN bersetuju supaya KKM meneruskan langkah mitigasi secara berterusan bagi memastikan stok ubat-ubatan dan peranti perubatan terus mencukupi, khususnya melibatkan item kritikal dan berisiko tinggi.
“Sebarang pelarasan kos akan dibuat secara bersasar, berdasarkan tahap risiko dan keperluan sebenar.
“KKM turut disaran untuk meningkatkan usaha bagi memastikan ketelusan harga ubat-ubatan yang dijual di farmasi supaya rakyat tidak dibebani tekanan harga yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN










