MELAKA: Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan muktamad berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi masih menunggu pertimbangan dan arahan kepemimpinan utama PH di peringkat pusat.
Menurut beliau, pihaknya sudah menyediakan beberapa senario termasuk bertanding secara solo, membentuk persepakatan lebih besar atau bekerjasama dengan parti-parti lain.
“PH yang hampir pasti (ditandingi) dalam 18 hingga 21 kerusi. Itu hampir pasti iaitu 18 kerusi paling kurang dan 21 paling maksimum.
“Namun begitu, kalau keadaan terpaksa, mungkin kami bertanding di 28 kerusi, itu yang sedang dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka di Bukit Baru di sini, hari ini.
Amirudin berkata, segala kemungkinan termasuk bentuk kerjasama pilihan raya akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH selepas mengambil kira perkembangan rundingan dan keadaan semasa menjelang PRN.
Menurutnya, perbincangan berhubung kemungkinan persepakatan pilihan raya masih berlaku, namun ia tidak semestinya membabitkan pembentukan gabungan politik baharu.
“Ini bukan gabungan sebaliknya ia mungkin persepakatan dan persefahaman pilihan raya Melaka sahaja. Itu yang paling jauh kita boleh pergi.
“Jadi kami tidak mahu buat sebarang rumusan awal itu akan ditetapkan oleh kepemimpinan utama Majlis Presiden PH minggu depan,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Amirudin berkata PH sudah mengemukakan beberapa pilihan kepada pimpinan pusat untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata, sebagai pengarah pilihan raya, pihaknya menyediakan beberapa senario termasuk pilihan untuk bertanding secara solo, membentuk kerjasama lebih besar dengan parti lain.
“Jadi kita tunggulah kebijaksanaan Majlis Presiden PH untuk memutuskan. Saya rasa tidak begitu lama. Menjelang pengumuman senarai calon nanti kita akan dapatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata senarai calon PH bagi PRN Melaka kini sedang dimuktamadkan oleh parti-parti komponen masing-masing.
Katanya, pengumuman calon dijangka dibuat dalam tempoh lebih kurang seminggu dari sekarang bergantung kepada tarikh dan kesediaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN











