PETALING JAYA: Malaysia dan Lubnan terus memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan serta penerusan peluang latihan ketenteraan antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Negara Lubnan, Mejar Jeneral Michel Menassa sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.
Katanya, Lubnan merupakan antara rakan diplomatik terawal Malaysia di Asia Barat sejak 1960-an dengan hubungan kedua-dua negara berkembang merentasi pelbagai bidang termasuk pertahanan.
“Kami berbincang untuk memperluas kerjasama pertahanan termasuk cadangan MoU Kerjasama Pertahanan serta meneruskan peluang latihan melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP),” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala tersebut.
Cadangan itu katanya, menerima sambutan baik daripada pihak Lubnan.
“Lubnan merupakan antara rakan terawal Malaysia di Asia Barat. Hubungan ini akan terus diperkukuh termasuk selepas berakhirnya penugasan MALBATT di bawah UNIFIL.
“Saya yakin kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan dalam bidang yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia dan Lubnan,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, Lubnan merupakan antara rakan diplomatik terawal Malaysia di Asia Barat sejak 1960-an dengan hubungan kedua-dua negara berkembang merentasi pelbagai bidang termasuk pertahanan.
Dalam rangka lawatan sama, Mohamed Khaled turut berkunjung ke Kementerian Pertahanan Negara Lubnan dan menyertai upacara meletakkan kalungan bunga sebagai penghormatan kepada perwira negara berkenaan sebelum meneruskan agenda dua hala.
Delegasi Mohamed Khaled turut disertai Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar Udzir; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd. Yani Daud dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan peranan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dalam menyokong serta memudah cara penugasan anggota ATM sejak penglibatan Malaysia dalam UNIFIL sekitar 2007.
“Meskipun penugasan MALBATT di sini akan berakhir tidak lama lagi, hubungan pertahanan perlu terus diperkukuh, termasuk melalui peranan Kedutaan demi manfaat kedua-dua negara,” katanya.
Pada hari kedua lawatan, Mohamed Khaled mengunjungi Kem Marakah di selatan Lubnan yang menempatkan MALBATT 850-13 bagi menerima taklimat mengenai perkembangan penugasan serta persiapan menjelang pengakhiran misi berkenaan.
MALBATT 850-13 merupakan kontinjen terakhir Malaysia di bawah UNIFIL yang menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan negara dalam misi pengaman di Lubnan.
“Sejak 2007, kehadiran ATM di bumi Lubnan di bawah misi UNIFIL mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepada usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa.
“Sepanjang tempoh tersebut, ATM telah melaksanakan amanah keamanan sejagat ini dengan penuh profesionalisme dan dedikasi, satu khidmat yang menjadi kebanggaan rakyat dan negara,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyaksikan Majlis Simbolik Penyerahan Aset ATM melalui MALBATT kepada Angkatan Tentera Lubnan (LAF) melibatkan 292 aset dianggarkan bernilai sekitar AS$10 juta termasuk kenderaan dan pelbagai kelengkapan yang akan diserahkan secara berperingkat sehingga Januari 2027.
Dalam proses pengunduran secara berperingkat, sebahagian aset MALBATT akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan dan ada yang diserahkan kepada LAF.
“Penyerahan ini mengambil kira manfaat kepada LAF dan masyarakat setempat khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan.
“Semoga aset ini akan terus memberi manfaat kepada Lubnan dan rakyatnya walaupun selepas misi MALBATT berakhir,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan simbolik penyerahan peralatan perubatan dan alat pemadam api sumbangan MALBATT kepada Civil Defense Lubnan sebagai sebahagian usaha Malaysia menyokong kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan di negara berkenaan.- UTUSAN











