Malaysia lebih berdaya tahan hadapi risiko krisis kewangan serantau

Malaysia lebih berdaya tahan hadapi risiko krisis kewangan serantau

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai asas ekonomi dan sistem kewangan negara yang lebih kukuh berbanding tahun 1997 dan 1998 semasa Krisis Kewangan Asia, yang dijangka dapat mengurangkan risiko berlakunya krisis kewangan pada skala yang sama.

Risiko tercetus krisis tersebut susulan kejatuhan mendadak nilai mata wang rupiah dan kemerosotan ketara pasaran saham Indonesia sememangnya menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berulangnya krisis kewangan serantau. 

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, Malaysia mempunyai pertumbuhan ekonomi domestik yang positif, sistem perbankan yang relatif berdaya tahan, rizab antarabangsa yang mencukupi serta rangka kerja dasar monetari dan pengawalseliaan kewangan yang lebih mantap. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, faktor-faktor ini memberikan ruang kepada Malaysia untuk menyerap sebahagian tekanan kewangan luaran tanpa menjejaskan kestabilan keseluruhan ekonomi secara mendadak.

“Prestasi ekonomi Malaysia yang terkini turut memberikan gambaran yang menggalakkan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi negara dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, berbanding pertumbuhan 6.0 peratus pada suku sebelumnya. 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026, pertumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan mencatatkan purata sekitar 5.5 peratus. 

“Prestasi ini menunjukkan bahawa Malaysia memasuki tempoh ketidaktentuan kewangan serantau dengan momentum pertumbuhan ekonomi domestik yang masih positif dan relatif kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siong Hook berkata, kejatuhan pasaran saham Indonesia turut dipengaruhi oleh cadangan MSCI untuk menurunkan klasifikasi pasaran saham Indonesia daripada kategori pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran kendiri , berikutan kebimbangan berkaitan ketelusan dan tadbir urus pasaran. 

Menurutnya, perkembangan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa dan mendorong mereka mengurangkan pendedahan pelaburan dalam pasaran sedang pesat membangun yang lain, termasuk Malaysia.

“Dalam keadaan ini, Malaysia berpotensi mengalami peningkatan turun naik pasaran saham, ketidaktentuan kadar pertukaran ringgit dan pengaliran keluar pelaburan portfolio asing dalam jangka pendek. 

“Namun, kejatuhan pasaran kewangan tidak semestinya membawa kepada krisis ekonomi. Perkara yang lebih penting ialah sama ada ketidakstabilan pasaran tersebut akan merebak kepada sistem perbankan, menjejaskan kecairan kewangan, mengganggu pembiayaan sektor perniagaan serta melemahkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi sebenar,” ujarnya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia untuk menghadapi kesan penularan ekonomi daripada Indonesia adalah relatif kukuh, namun masih terdapat beberapa risiko yang perlu diurus secara berhati-hati. 

Menurutnya, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu terus memantau aliran keluar masuk modal, pendedahan sistem perbankan terhadap risiko luar negara serta perkembangan pasaran pertukaran asing. 

“Pada masa yang sama, dasar ekonomi perlu kekal fleksibel supaya tindak balas yang bersesuaian dapat dilaksanakan sekiranya keadaan kewangan serantau bertambah buruk.

“Apa yang lebih penting, Malaysia tidak seharusnya melaksanakan campur tangan secara berlebihan semata-mata untuk mempertahankan nilai ringgit pada paras tertentu. 

“Sebaliknya, keutamaan dasar monetari dan kewangan perlu diberikan kepada usaha memastikan pasaran berfungsi secara teratur, mengekalkan kestabilan harga, menyediakan kecairan kewangan yang mencukupi serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini