KUALA LUMPUR: Satu kerjasama strategik diwujudkan bagi membangunkan Kiosk Rakyat Madani sebagai satu inisiatif baharu untuk memperluas peluang perniagaan khususnya kepada penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro.
Kerjasama itu bukan sahaja mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda kerajaan, malah berpotensi membuka ruang kepada pendekatan lebih inovatif dalam memperkasakan ekonomi rakyat.
Justeru itu, dua syarikat tempatan, Arakaca Resources Sdn. Bhd. dan Jayrlax Asset Management Sdn. Bhd., menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan Kiosk Rakyat Madani, satu inisiatif baharu yang menyasarkan peluasan peluang perniagaan kepada penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Pengarah Urusan Arakaca Resources Sdn Bhd, Muralivaman Govindasamy berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu lagi usaha memperkukuh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam menyediakan peluang perniagaan lebih mudah diakses oleh masyarakat.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan turut dapat mempertimbangkan Kiosk Rakyat Madani sebagai satu inisiatif baharu yang mampu menyediakan ruang perniagaan pada kadar sewaan berpatutan kepada rakyat di seluruh negara.
Menurutnya, kiosk berkenaan boleh dibangunkan dengan reka bentuk moden, kemudahan lebih canggih serta berkonsepkan halal bagi memenuhi keperluan pengguna dan usahawan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jayrlax Asset Management Sdn Bhd, Segaran Mathavan berkata, cadangan tersebut berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penjaja, peniaga kecil, golongan belia dan usahawan mikro yang ingin memulakan perniagaan tetapi berdepan kekangan modal serta kos sewaan premis yang tinggi.
Katanya, cabaran mendapatkan lokasi perniagaan yang strategik dan mampu milik masih menjadi antara halangan utama, khususnya bagi usahawan baharu di kawasan bandar dan luar bandar.
“Melalui konsep Ruang Berniaga, Peluang Menjana, Kiosk Rakyat Madani boleh ditempatkan di lokasi strategik seperti terminal teksi, terminal bas, pasar, hab pengangkutan, kawasan komuniti dan pusat tumpuan awam.
“Selain menyediakan ruang niaga, program ini juga boleh dilengkapi dengan kemudahan asas, sistem pembayaran digital, promosi dalam talian serta bimbingan keusahawanan bagi memastikan peniaga bukan sahaja memperoleh tempat berniaga, malah mempunyai peluang

untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Menurut Segaran, bagi sebahagian besar peniaga kecil, cabaran utama bukanlah ketiadaan minat untuk berniaga, sebaliknya kesukaran mendapatkan lokasi yang sesuai serta memulakan perniagaan dengan kos yang mampu ditanggung.
Justeru, beliau berpandangan Kiosk Rakyat Madani berpotensi menjadi satu pendekatan baharu dalam mengubah ruang awam menjadi ruang ekonomi yang mampu menjana pendapatan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif itu wajar dibuat secara terbuka dan inklusif tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, dengan memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah serta usahawan mikro.
“Jika dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh, Kiosk Rakyat Madani bukan sekadar menyediakan sebuah kiosk, tetapi boleh menjadi pintu pertama kepada rakyat untuk membina sumber pendapatan, mengembangkan perniagaan dan seterusnya keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya. – UTUSAN











