BACHOK: Air mata seorang ibu tunggal tumpah apabila impian anaknya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) yang sebelum ini hampir terkubur akibat kesempitan hidup, menjadi kenyataan.
Muhammad Shah Putra Che Awang, 19, dapat mendaftar di universiti itu selepas menerima bantuan pelbagai pihak tampil meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.
Kejayaan tersebut sangat bermakna buat Zubaidah Muhammad Yusof, 51, yang sebelum ini buntu memikirkan cara untuk menyediakan wang mencukupi bagi menampung kos pengajian Muhammad Shah Putra.
Zubaidah terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasi impian anaknya itu terutama Yayasan Raja Shamri.
Dia berharap Muhammad Shah Putra tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh dengan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan dan membina masa depan lebih baik.
“Bila tengok anak (Muhammad Shah Putra) selamat mendaftar di UM, ia sesuatu yang melegakan buat saya. Pendapatan sebagai pembantu kedai tidak cukup untuk membayar yuran pengajiannya.
“Saya juga masih mempunyai dua anak yang masih bersekolah selain perlu membawa sewa rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, impian pelajar cemerlang yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatiff (PNGK) 4.0 dari Pusat Asasi Sains UM melanjutkan pengajian hampir terkubur apabila keluarganya tidak ada wang mencukupi bagi menampung kos tersebut.
Namun, Muhammad Shah Putra enggan mengalah apabila sanggup meminjam wang daripada ibu saudaranya bagi melunaskan bayaran pendahuluan RM500 demi menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di UM. – UTUSAN











