DUN tidak bersidang, pentadbiran kerajaan negeri terjejas - Utusan Malaysia

DUN tidak bersidang, pentadbiran kerajaan negeri terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu bersidang sebelum hujung tahun ini untuk meluluskan Belanjawan Negeri 2027 yang amat penting untuk kelang­sungan pentadbiran ne­geri ini.

Meskipun kerajaan negeri mempunyai tempoh enam bu­lan dari tarikh Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Ke-16 pada 18 Ogos lalu, kelewatan pembentangan belanjawan akan mendatangkan kesan besar termasuk soal pembayaran gaji penjawat awam.

Setakat ini, belum ada sebarang tarikh ditetapkan untuk sidang seterusnya, meskipun difahamkan notis awal me­nyatakan ia bakal berlangsung bermula 16 Oktober ini selama lima hari berturut-turut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) me­ngakui, belum meneri­ma se­barang notis rasmi berhu­bung pelaksanaan atau pe­nangguhan sidang.

ADUN Johol daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, setakat ini beliau tidak me­nerima apa-apa pemakluman mengenai perkara itu.

“Saya belum menerima sebarang notis tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 18 Ogos lalu, DUN Ne­geri Sembilan meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM40.35 juta selepas mendapat sokongan sebulat suara 36 ADUN.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, tambahan peruntukan itu diperlukan bagi memenuhi beberapa komitmen kewangan dan keputusan kerajaan negeri dalam tahun semasa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.5 juta adalah bagi komitmen bayaran balik hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan manakala RM5.85 juta bagi bayaran pencen dan ganjaran susulan pembubaran DUN pada 5 Jun 2026.

Ismail juga menyatakan, beliau belum memutuskan sama ada DUN Negeri Sembilan akan bersidang bulan ini selepas sidang terakhir diadakan pada Ogos lalu.

Ini susulan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuan­ku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuat kuasa serta-merta sebelum perkara itu diwartakan pada 20 September lalu.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Kepayang daripada Pakatan Harapan (PH), Nicole Tan Lee Koon juga memaklumkan perkara sama.

Katanya, tarikh Sidang DUN perlu mendapat perkenan Tuanku Muhriz.

“Tidak ada. Semua tarikh kena dapat perkenan Tuanku.

“Kerajaan negeri perlu se­gera menetapkan tarikh persidangan dan memastikan DUN terus berfungsi mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Mengenai pertemuan khas 25 ADUN kerajaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, Pusat Daga­ngan Dunia (WTC) Kuala Lumpur kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mereka tidak membincangkan sesi menghadap Ismail dengan Tuanku Muhriz.

ADUN Pertang itu berkata, pertemuan itu lebih tertumpu kepada usaha memastikan semua wakil rakyat blok kerajaan terus komited melaksanakan amanah di kawasan masing-masing termasuk mem­perkukuh parti.

Beliau berkata, Ahmad Zahid mengingatkan supaya ti­dak terkesan dengan perkembangan semasa dan terus mengutamakan khidmat kepada rakyat.

“Kita bagi satu naratif, satu petua supaya ADUN, 25 ADUN yang ada ini menjalankan tugas di kawasan masing-ma­sing, perkukuhkan parti dan juga tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.

Katanya, ia turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×