Ismail Lasim lafaz taat setia kepada Tuanku Muhriz

Ismail Lasim lafaz taat setia kepada Tuanku Muhriz

ISMAIL Lasim semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim melafazkan aku janji mengiktiraf dan taat setia kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Beliau juga berikrar untuk mempertahankan kedaulatan jawatan baginda dan menghalang sebarang usaha sama ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz.

Serentak itu juga, beliau memberitahu, Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 19 April lalu sebagai tidak sah dan tidak akan diwartakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tanpa berbelah bagi menyatakan bahawa Tuanku Muhriz kekal bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini.

Ismail berkata, beliau juga akur bahawa Datuk Mubarak Thahak dan Datuk Maarof Mat Rashad, masing-masing telah terhenti daripada memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu manakala Abd. Rahim Yasin tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau.

“Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai kuasa di sisi undang untuk melaksanakan jawatan sebagai Undang Luak mulai daripada tarikh yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau mengiktiraf ketetapan yang dibuat oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dalam pelantikan Datuk Hassan Ab. Hamid sebagai Undang Luak Rembau; Datuk Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan
Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat tindakan susulan berkaitan semua isu yang berbangkit mengenai Undang Luak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini