Dari mana Guan Eng dapat istilah lebih berbelanja - Razlan

Dari mana Guan Eng dapat istilah lebih berbelanja – Razlan

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng diminta menjelaskan dari mana datangnya istilah lebihan berbelanja sebanyak RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, beliau menyangkal penggunaan istilah lebihan perbelanjaan itu dan menegaskan Guan Eng sebagai bekas Menteri Kewangan seharusnya lebih bijak sebelum membuat kenyataan.

“Tiada istilah lebihan berbelanja seperti yang dibangkitkan Lim Guan Eng. Dari mana beliau mendapat istilah ‘lebih berbelanja sebanyak RM2.1 bilion’?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah beliau memetik angka itu daripada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sebelum ini atau beliau telah mendapat penjelasan mengenai kenyataan KSP sebelum ini?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan, Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan tersebut.

Penasihat DAP itu berkata, Ahmad Zahid dan KKDW sepatutnya berdepan tindakan serta siasatan sama seperti pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhubung dakwaan salah laku kewangan melibatkan anak syarikatnya, UiTM Holdings.

Guan Eng turut memetik perangkaan Kementerian Kewangan yang menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan diluluskan sebanyak RM1.1 bilion.

Menurutnya, perbelanjaan pada 2024 pula berjumlah RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2025 sebanyak RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.

Berdasarkan angka tersebut, Guan Eng mendakwa jumlah perbelanjaan yang melebihi peruntukan diluluskan bagi ketiga-tiga tahun itu mencecah RM2.1 bilion.

Mengulas lanjut, Razlan meminta KSP menjelaskan maksud kenyataan terdahulu kepada Guan Eng.

“Saya juga meminta KSP yang telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan kepada Ahli Parlimen DAP ini mengenai maksud kenyataan sebelum ini.

“Kementerian Kewangan perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam memberi penjelasan kepada bekas Menteri Kewangan PH ini,” katanya.

Dalam pada itu, Razlan berkata, kenyataan Guan Eng adalah berniat jahat dan sengaja dibuat untuk mencetuskan persepsi negatif.

Katanya, desakan itu juga bermotifkan politik bagi mencemarkan nama baik Presiden UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Razlan juga menasihatkan Guan Eng supaya mencerminkan diri terlebih dahulu sebelum membuat desakan sedemikian serta menyelesaikan kesnya di mahkamah.

“Inilah sikap biadab DAP yang menyebabkan ahli UMNO tidak boleh menerima parti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×