CAP gesa racun perosak PFAS dikawal segera

CAP gesa racun perosak PFAS dikawal segera

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan agar segera mengenakan kawalan perundangan terhadap penggunaan racun perosak yang mengandungi bahan ‘Per- dan Polifluoroalkil’ atau PFAS di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, memorandum berkaitan perkara itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta ahli Lembaga Racun Makhluk Perosak pada 6 Oktober lalu.

“Racun perosak yang mengandungi PFAS sering dirujuk sebagai ‘bahan kimia kekal’ yang mempunyai ikatan karbon-fluorin yang sangat kuat sehingga menyebabkan bahan itu sukar terurai dalam alam sekitar dan badan manusia.

“Justeru, pendedahan kepada PFAS termasuk yang terdapat dalam racun perosak tertentu dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan termasuk kanser, gangguan kesuburan dan sistem imun serta peningkatan risiko penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, ketika ini, kanak-kanak turut berdepan kesan buruk jangka panjang termasuk berkaitan penindasan sistem imun akibat pendedahan kepada bahan berkenaan.

“Lebih membimbangkan, Malaysia masih tidak mempunyai keperluan pelabelan yang telus bagi racun perosak mengandungi PFAS, sekali gus menyukarkan pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang lengkap. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan hak pengguna, malah, boleh merisikokan komuniti, sektor pertanian dan ekosistem secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Mohideen berkata, kesan racun perosak PFAS juga tidak terhad kepada kesihatan manusia kerana bahan tersebut boleh menjejaskan kesihatan serta kesuburan tanah berikutan sifatnya yang tegar serta boleh terkumpul sehingga mencapai kepekatan berbahaya.

Katanya, penggunaan tanah yang tercemar untuk tanaman makanan secara berulang pula berpotensi mewujudkan kitaran pencemaran yang berterusan, sekali gus memberi kesan terhadap hasil pertanian dan keselamatan makanan.

Mohideen berkata, kajian terkini turut mendapati bahawa buah-buahan serta sayur-sayuran di United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah (EU) telah dicemari oleh racun perosak PFAS manakala bahan kimia berkenaan turut dikesan dalam cecair badan manusia.

“Semakan silang CAP mendapati, ketika ini terdapat 14 bahan aktif PFAS yang merangkumi 62 nama dagangan racun perosak berdaftar di Malaysia,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN