GEORGE TOWN: Kerajaan perlu memasukkan bahan kimia ftalat dan bisphenol dalam sistem Sistem Maklumat Bahan Berbahaya Kepada Alam Sekitar Malaysia (MyEHS) dan Senarai Bahan Kimia Keutamaan Kebangsaan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, selain itu terdapat keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan larangan penuh bahan tersebut dalam semua produk pengguna.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi melindungi kesihatan awam daripada pendedahan bahan kimia berbahaya seperti ftalat dan bisphenol yang digunakan secara meluas dalam produk plastik.
Katanya, penggunaan bahan kimia itu semakin meluas dalam pelbagai produk harian termasuk pembungkusan makanan, mainan dan barangan keperluan rumah.
“Pendedahan berterusan kepada ftalat dan bisphenol boleh menjejaskan sistem endokrin dan fungsi organ penting dalam tubuh manusia. Kesannya bukan sahaja bersifat jangka pendek, malah boleh memberi impak serius terhadap kehamilan, pertumbuhan kanak-kanak dan kesihatan reproduktif,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ftalat (phthalates) ialah sekelompok bahan kimia yang digunakan sebagai plasticizer untuk meningkatkan fleksibiliti, ketahanan dan kelembutan plastik terutama PVC.
Bisphenol A pula ialah bahan kimia sintetik yang digunakan untuk menghasilkan plastik polikarbinat (keras atau jernih) dan resin epoksi (lapisan dalam tin).
Mohideen berkata, beberapa kajian tempatan menunjukkan tahap bahan kimia tersebut dalam produk pengguna di Malaysia berada pada tahap membimbangkan dan melebihi piawaian antarabangsa.
“Kajian oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati kesemua 30 mainan murah yang diuji di pasaran Kuala Lumpur mengandungi ftalat melebihi had yang ditetapkan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Katanya, dalam kajian berasingan oleh CAP bersama International Pollutants Elimination Network (IPEN), Bisphenol A (BPA) dikesan dalam semua sembilan sampel botol polikarbonat tempatan yang diuji.
“Ujian terhadap 44 sampel kertas terma mendapati 27 mengandungi BPA manakala 13 lagi mengandungi Bisphenol S (BPS), selain ftalat ditemui dalam kebanyakan sampel pemadam.
“Kajian terhadap pelet plastik kitar semula di Pulau Pinang turut mengesan kehadiran BPA, penstabil UV dan bahan kalis api bromin, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bahan kitar semula,” katanya.
Katanya, penyelidikan Universiti Malaya mendapati, bisphenol merupakan bahan kimia pengganggu endokrin paling banyak ditemui dalam makanan, termasuk makanan dalam tin, produk tenusu serta buah-buahan dan sayur-sayuran.
Beliau berkata, kajian UPM menunjukkan suhu tinggi dan tempoh penyimpanan lama meningkatkan pembebasan BPA daripada botol air, khususnya apabila disimpan dalam kenderaan dan terdedah kepada cahaya matahari. – UTUSAN










