PETALING JAYA: Penggunaan kalsium karbida untuk mempercepatkan proses pematangan buah dibimbangi mengundang risiko kesihatan serius kepada pengguna, termasuk kemungkinan menyebabkan kecacatan janin dalam kalangan wanita hamil.
Kalsium karbida merupakan bahan kimia industri yang menghasilkan gas asetilena apabila terdedah kepada lembapan, sekali gus mempercepatkan proses pematangan buah secara buatan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, bahan berkenaan bukan sahaja mengandungi sebatian toksik seperti arsenik dan fosforus, malah boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna serta pekerja yang mengendalikannya.
“Pendedahan berterusan kepada kalsium karbida boleh menjejaskan sistem saraf dan menyebabkan sakit kepala, pening, gangguan mood, mengantuk, kekeliruan mental serta sawan dalam jangka pendek. Dalam jangka panjang, ia boleh mengakibatkan kehilangan ingatan dan edema serebral.
“Lebih membimbangkan, wanita hamil yang mengambil buah-buahan yang dimatangkan seperti pisang, mangga, nanas dan betik menggunakan bahan ini berisiko melahirkan anak yang mengalami kecacatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu hasil tinjauan CAP di Kepala Batas mendapati beberapa penjual buah mengakui menggunakan kalsium karbida untuk mematangkan buah dan menjual bahan tersebut kepada peniaga lain, malah ia turut mudah mudah diperoleh melalui platform e-dagang dan kedai-kedai luar bandar pada harga sekitar RM10 sekilogram.
Mohideen berkata, buah-buahan yang dimatangkan secara buatan menggunakan kalsium karbida lazimnya kelihatan menarik dengan warna yang sekata, namun sering mempunyai rasa yang kurang enak dan jangka hayat yang lebih pendek.
“Contohnya, pisang yang dimatangkan secara buatan mungkin mempunyai kulit berwarna kuning sepenuhnya tetapi isinya masih hijau dan belum masak sepenuhnya,” katanya.
Proses pematangan semula jadi melibatkan pelbagai perubahan biokimia penting yang menghasilkan antioksidan, sebatian aroma dan nutrien yang bermanfaat kepada kesihatan.
“Sebahagian besar manfaat ini hilang apabila buah dipaksa masak menggunakan bahan kimia. Selain berpotensi toksik, buah yang dimatangkan secara buatan juga kurang berkhasiat,” katanya.
Mohideen turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan penggunaan kalsium karbida dalam industri buah-buahan negara.
Katanya, penggunaan kalsium karbida bagi mematangkan buah diharamkan di banyak negara termasuk India, negara-negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, namun masih digunakan di Malaysia.
Pengguna dinasihati supaya lebih berhati-hati ketika membeli buah-buahan dengan mengelakkan buah yang kelihatan terlalu seragam atau luar biasa menarik, membasuh buah dengan bersih sebelum dimakan serta tidak membeli buah di luar musim.
“Penggunaan berterusan kalsium karbida dalam pematangan makanan menimbulkan risiko yang tidak perlu dan boleh dicegah terhadap kesihatan awam. Penguatkuasaan yang tegas serta peningkatan kesedaran pengguna amat penting bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin,” katanya. – UTUSAN










