Bekas Pengarah Besar didakwa tipu tukar milik 16 lot tanah Felda

Bekas Pengarah Besar didakwa tipu tukar hak milik 16 lot tanah Felda

Faizoull Ahmad menghadapi pertuduhan menipu pemindahan hak milik 16 tanah lot Felda di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SYaKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Pengarah Besar Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menipu berhubung penukaran hak milik 16 lot tanah di Jalan Semarak, 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Da­tuk Faizoull Ahmad, 66, meng­aku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai Pengarah Besar agensi itu didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah Felda dengan menyembunyikan fakta bahawa Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. untuk menukar hak milik tanah-tanah kepunyaan agensi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu telah mendorong Lembaga Pengarah Felda untuk bersetuju dengan Surat Kuasa Wakil tersebut yang mengakibatkan 16 tanah milik Felda ditukar hak milik kepada syarikat Synergy Promenade KLVC Sdn. Bhd. dan Synergy Promenade Sdn. Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda di Persiaran KLCC pada 2 September 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), N. Joy Jothi mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan turut memohon agar Faizoull dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM satu bulan sekali.

“Kesalahan adalah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Ia merupakan satu kesalahan yang tidak boleh dijamin (non-bailable offence), jadi kami akan cadangkan RM100,000,” katanya.

Peguam bela, Datuk Sukri Mohamed mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya yang kini pesara kerajaan telah memberi kerjasama sejak siasatan bermula pada 2018 selain tiada risiko melarikan diri (flight risk).

“Saya mohon supaya jaminan dikenakan hanya RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport tidak digantung.

“Sebarang jumlah yang tinggi, beliau tidak mampu. Beliau hanya penjawat awam yang sekarang ini menikmati kewangan pencen sahaja,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Faizoull diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 6 November ini.

Pada 8 Jun 2018, Faizoull pernah disabitkan dengan hukuman penjara dua tahun bagi dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Felda lebih RM47 juta.

Bagaimanapun, pada 22 September 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Faizoull dan mengetepikan sabitan terhadapnya selain memerintahkan agar dia dilepas serta dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan.

Pada 3 November 2025, keputusan itu dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azmi Ariffin selepas menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan sabitan terhadapnya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×