NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa pembangunan wilayah Selatan Thai mengesahkan terdapat lebih 100,000 warga Thailand yang bekerja di restoran tomyam di Malaysia belum mempunyai permit kerja yang sah.
Pemangku Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Chonthanya Saengphum berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat 200,000 warga Thailand yang bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia.
Katanya, daripada jumlah itu lebih 50 peratus pekerja terbabit tidak mempunyai permit kerja secara sah dan berdepan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Jika Kerajaan Malaysia memperketat peraturan mengenai tenaga kerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam pada masa hadapan, ia akan menimbulkan masalah besar.
“Pada masa ini, Kerajaan Thailand dan Malaysia sedang mengusahakan satu memorandum persefahaman (MoU) baharu mengenai pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja bagi mengemas kini rangka kerjasama agar lebih selaras dengan undang-undang semasa serta konteks pasaran buruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Chonthanya berkata, SBPAC akan membantu mempercepat pemeteraian MoU bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja Thailand di Malaysia.
Katanya, MoU baharu itu merangkumi aspek pengambilan dan penggajian, perlindungan hak, keselamatan serta kebajikan pekerja, penentuan peranan dan tanggungjawab agensi berkaitan, majikan, pekerja, dan agensi pengambilan pekerja, serta proses penghantaran pulang.
“MoU itu turut mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Thailand-Malaysia sebagai mekanisme untuk meneliti butiran serta memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan,” ujarnya.
Chonthanya berkata, SBPAC telah mengadakan pertemuan dengan lebih 40 pemilik restoran tomyam yang membuka perniagaan mereka di sekitar Lembah Klang, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit dan membentuk kerjasama lebih erat.
“Kerjasama ini sangat penting bagi wilayah-wilayah sempadan selatan kerana ia merupakan penghubung terus dengan Malaysia serta berpotensi membangunkan sumber manusia bagi menyokong pasaran tenaga kerja rentas sempadan.
“Selain itu, kerjasama ini selaras dengan pendekatan pembangunan ekonomi sempadan Thailand-Malaysia yang mengutamakan kesalinghubungan ekonomi, pembangunan kemahiran tenaga kerja dan mewujudkan peluang ekonomi sekali gus meningkatkan kesejahteraan pekerja Thailand di Malaysia,” katanya. – UTUSAN











