SEREMBAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan mengambil ketetapan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Katanya, selain itu notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh seorang peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah masih kekal dan sah.
“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Pada 17 September lalu, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan memaklumkan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ia susulan kenyataan Ismail sebelumnya yang mengarahkan proklamasi bertarikh 19 April lalu itu diwartakan. – UTUSAN











