SDAR Symphonic Band (SSB) daripada Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai Johan Modern Concert Band (Senior Division) pada Asian Music Games (AMG) Kuala Lumpur 2026, baru-baru ini.
SSB mencatat kejayaan membanggakan dengan meraih anugerah emas dan markah tertinggi 89.775 mata, mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas yang menduduki tempat kedua dengan 86.675 mata, manakala Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di tempat ketiga dengan 85.300 mata.

Kemenangan tersebut melengkapkan perjalanan gemilang SSB yang sebelum ini muncul sebagai johan Asian Music Games 2026 National Qualifier pada Jun lalu, sekali gus melayakkan pasukan berkenaan membawa cabaran Malaysia ke peringkat final.
Kejayaan di pentas akhir AMG itu cukup bermakna kerana SSB berjaya menyempurnakan misi daripada Johan National Qualifier kepada Johan Asian Music Games Final 2026, satu pencapaian yang menyerlahkan konsistensi, disiplin dan kualiti persembahan pasukan sepanjang tahun.
Lebih membanggakan, kemenangan tersebut merupakan kemuncak kepada rentetan pencapaian SSB yang memberangsangkan dalam tempoh hanya tiga bulan.
Sebelum ini , SSB meraih Gold Award di Festival Kesenian Muzik Malaysia 2026 di Pulau Pinang.
Dua hari kemudian, pada 7 Jun, SSB muncul Johan Modern Concert Band dengan Gold Award di Asian Music Games 2026 National Qualifier di Kuala Lumpur, sekali gus melayakkan mereka membawa cabaran Malaysia ke pentas final.

Kecemerlangan itu diteruskan pada 13 Ogos 2026 menerusi Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan Ke-24 apabila SSB dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, selain memenangi Gold Award, Best Ensemble Section dan Best Brass Section.
Kemuncak perjalanan tersebut hadir pada 6 September apabila SSB berjaya menawan pentas final AMG Kuala Lumpur 2026 sebagai juara.
Pentas Muzik Asia Asian Music Games merupakan acara muzik berskala besar yang menghimpunkan bakat muzik dan seni persembahan dari Malaysia serta rantau Asia.
AMG menampilkan pelbagai disiplin pertandingan termasuk brass and wind music, marching arts dan orchestral ensembles, dengan format pertandingan yang berkonsepkan temasya sukan atau olympic-style
Persembahan peserta dinilai secara kompetitif, manakala kedudukan pertandingan dipaparkan melalui sistem leaderboard, memberikan pengalaman pertandingan yang lebih dinamik dan kompetitif kepada para peserta.
Edisi Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 13 September menghimpunkan kira-kira 7,000 peserta tempatan dan 3,000 peserta antarabangsa daripada sembilan negara, melibatkan sebanyak 105 acara pingat.

Penganjuran tersebut bukan sahaja menjadikan Kuala Lumpur sebagai medan pertemuan pemuzik dari rantau Asia, malah membuka ruang kepada pemuzik muda Malaysia untuk menguji kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
Dalam konteks itu, kejayaan SSB membawa makna yang lebih besar apabila barisan pemuzik muda SDAR bukan sekadar bertanding sebagai sebuah pasukan sekolah, tetapi turut membawa cabaran dan nama Malaysia di pentas Asia.

Disiplin Melahirkan Kecemerlangan Jurulatih SSB yang juga alumni SDAR, Adam Asyraf Shazly, berkata kejayaan tersebut mencerminkan perkembangan pasukan yang dibina melalui latihan, disiplin dan komitmen secara berterusan.
“Kemenangan ini bukan sekadar tentang menjadi juara. Apa yang lebih membanggakan ialah melihat perkembangan anak-anak SSB daripada sebuah pasukan yang berlatih bersama kepada sebuah pasukan yang benar-benar percaya antara satu sama lain dan mampu membawa nama Malaysia di pentas Asian Music Games.”
Menurut Adam Shazly , setiap pertandingan memberikan pengalaman dan cabaran yang berbeza dalam membangunkan generasi pemuzik muda SDAR.
“Kami mahu mereka belajar bahawa pencapaian datang daripada disiplin, kerja keras dan kesanggupan untuk terus memperbaiki diri. Menjadi Johan AMG adalah satu pencapaian yang sangat kami syukuri, tetapi perjalanan mereka masih panjang.”
Kejayaan SSB di AMG 2026 membuktikan bahawa kecemerlangan anak muda Malaysia tidak terhad kepada bidang akademik dan sukan semata-mata, sebaliknya turut terserlah dalam bidang seni dan muzik apabila diberikan ruang, latihan serta bimbingan yang sewajarnya.
Lebih daripada sekadar sebuah kemenangan, pencapaian SSB menjadi cerminan kekuatan kerja berpasukan, disiplin, ketekunan dan semangat membawa nama negara.
Dari Seremban ke Kuala Lumpur, dan seterusnya ke pentas muzik Asia, SSB membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Satu pasukan. Satu bunyi.-UTUSAN











