Piala FA: Penang FC benam cabaran Melaka untuk ke suku akhir - Utusan Malaysia

Piala FA: Penang FC benam cabaran Melaka untuk ke suku akhir

KAPTEN Penang FC, Stefano Brundo (kanan) meraikan jaringan penyamaannya ketika menentang Melaka FC dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC berjaya mempamerkan kebangkitan selepas ketinggalan satu gol apabila menewaskan Melaka FC 2-1 dalam aksi kedua saingan 16 pasukan terbaik Piala FA sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang ini.

Turun dengan kelebihan satu gol selepas menang 1-0 dalam aksi pertama di Stadium Hang Jebat tempoh hari, skuad Harimau Kumbang bagaimanapun gagal mempamerkan persembahan meyakinkan pada separuh masa pertama apabila ketinggalan menerusi jaringan pemain import pelawat, Kpah Sherman pada minit ke-35.

Anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail kemudian hampir menyamakan kedudukan menjadi 1-1 pada minit-minit akhir separuh masa pertama, namun, jaringan pemain tengah, Kosimov Bakhtiyorjon dibatalkan pengadil, S. Logeswaran kerana berlaku kekasaran di hadapan pintu gol pelawat.

Masuk babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk memburu gol dan hasilnya, kapten, Stefano Brundo berjaya menyempurnakan satu sepakan percuma yang menarik betul-betul di luar kotak penalti Melaka FC pada minit ke-74 untuk gol penyamaan.

Ketika perlawanan dilihat seakan berkesudahan dengan keputusan 1-1, pemain gantian Penang FC, Celestine Enzo meledak gol kedua sekali gus ‘mematikan’ sisa-sisa harapan Melaka FC untuk bangkit sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kejayaan melangkah ke saingan suku akhir Piala FA kali ini bagaimanapun dilihat seakan mengulangi skrip musim lepas apabila Penang FC dijangka bertemu lawan yang sama iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Terdahulu, juara bertahan Piala FA itu melangkah bergaya ke suku akhir selepas menang besar ke atas UM-Damansara United dengan agregat 14-1, semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×