Kes SMK Za’ba: Pas tuntut penjelasan dasar antibuli

Kes SMK Za’ba: Pas tuntut penjelasan dasar antibuli

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjelaskan tahap pelaksanaan dasar, garis panduan dan kempen keselamatan serta antibuli di sekolah, susulan kematian seorang pelajar tingkatan dua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tragedi yang menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba itu menuntut penjelasan daripada KPM.

Beliau berkata, KPM sebelum ini telah memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat, selain pelbagai mekanisme pencegahan serta pelaporan kes buli.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalannya, adakah semua ini benar-benar dilaksanakan di sekolah dan asrama atau sekadar baik di atas kertas? Jika sistem pemantauan benar-benar berfungsi, sejauh mana warden dan pihak sekolah mampu mengesan risiko lebih awal?

“Adakah saluran aduan benar-benar selamat dan diyakini murid? Siapa yang memastikan setiap sekolah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan dan Allahyarham dipercayai menjadi mangsa buli.

Polis dilaporkan sudah merakam 21 percakapan termasuk pelajar, guru dan ibu bapa mangsa.

Afnan Hamimi berkata, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek perlu menjelaskan tahap sebenar pelaksanaan dan pemantauan dasar tersebut di sekolah berasrama seluruh negara.

“Jangan sekadar mengumumkan dasar selepas sesuatu tragedi, kemudian menunggu tragedi seterusnya untuk kembali bercakap mengenai keselamatan murid,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes mesti dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa mendahului dapatan pihak berkuasa.

Katanya, sekiranya ditemukan unsur jenayah, kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

“Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Dasar antibuli tidak boleh sekadar menjadi slogan. Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan,” katanya.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Idlan Fareeq dan menyeru semua pihak memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×