Kenal Tun Hasmah melalui Upin & Ipin, empat beradik ajak ibu ziarah pusara

Kenal Tun Hasmah melalui Upin & Ipin, empat beradik ajak ibu ziarah pusara

EMPAT beradik lelaki menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara, Presint 20. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak pernah bertemu dengan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali namun, empat beradik lelaki tergerak hati untuk mengajak ibu mereka untuk menziarahi pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, Presint 20, di sini pagi ini.

Empat beradik itu ditemani ibu mereka Sherina Mohd. Jefri,30-an hadir menziarahi pusara Allahyarhamah pagi ini selain berpeluang menyirami pusara Dr Siti Hasmah.

Sherina ketika ditemui berkata, anak-anaknya itu hanya mengenali Allahyarhamah menerusi watak yang pernah muncul dalam salah satu episod animasi popular Upin Ipin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, anak-anaknya pernah menonton siri animasi berkenaan yang menampilkan watak Tun Dr. Siti Hasmah, sekali gus membuatkan mereka mengenali figura itu.

“Selepas melihat gambar dan video saya dan suami menziarahi pusara Allahyarhamah sebelum ini, mereka mengajak saya untuk menziarahi pusara pagi ini.

“Jadi hari ini saya cutikan mereka untuk bawa datang ke sini kerana mereka pernah tengok cerita Upin & Ipin yang ada watak Tun Hasmah. Daripada cerita itu mereka kenal siapa Tun Hasmah,” katanya ketika ditemui di Pusara Negara di sini hari ini.

Katanya, ketika berita pemergian Allahyarhamah diumumkan pada Isnin lalu, dia masih berada di tempat kerja dan hanya pulang lewat pada hari berkenaan sebelum sempat menziarahi pusara pada sebelah malam.

Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.

Walaupun sudah memasuki hari ketiga pemergian, pusara Allahyarham terus menerima kunjungan orang ramai yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Sebelum ini, warganet berkongsi semula di media sosial mengenai kemunculan Allahyarhamah dalam musim keenam siri animasi popular Upin & Ipin.

Klip yang diambil daripada episod khas berjudul Terima Kasih Cikgu! pada 2012 itu tular dan meraih perhatian warga maya.

Episod yang dibahagikan kepada tiga bahagian itu menampilkan Allahyarham Dr Siti Hasmah bersama suami, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu undangan.

Pasangan negarawan itu pernah menyumbang suara untuk watak animasi yang menggambarkan diri mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×