PETALING JAYA: UMNO Negeri Sembilan mendakwa kemelut institusi dan pentadbiran negeri yang berlaku ketika ini berpunca daripada pertikaian yang berlaku ketika pentadbiran terdahulu.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi berkata, keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ketika ini tidak seharusnya diketepikan atau ditafsir secara terpilih.
Beliau berkata, peristiwa pada 17 April 2026 merupakan antara titik penting dalam perkembangan kemelut tersebut.
Katanya, kedudukan Undang Luak Sungei Ujong pada ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui Dewan Keadilan dan Undang (DKU), namun perkara tersebut kemudiannya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
“Justeru, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental.
“Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Sufian berkata, sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan.
“Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana kemelut tersebut bermula.
“Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.
Menurut beliau, pertikaian tersebut menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, pendirian tersebut bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan di bawah kepimpinan beliau.
Beliau berkata, apabila penyelesaian politik tidak dicapai, Aminuddin sendiri memilih DUN untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.
“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah.
“Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” katanya.
Muhammad Sufian berkata, kerajaan negeri hari ini perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut tersebut secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.
Katanya, perkara yang menyentuh institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya diperlakukan sebagai medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.
“Jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan benar-benar mahu melihat kemelut itu diselesaikan, persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis perlu diberikan perhatian.
“Pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab.
“Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula pada zaman pentadbiran kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana keadaan itu membawa kepada tahap ketika ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya.
“Kerajaan negeri hari ini memikul tanggungjawab berat untuk menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah.
“Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut,” katanya. – UTUSAN











