Kembar tahfiz penuhi impian arwah ibu belajar di UKM

Kembar tahfiz penuhi impian arwah ibu belajar di UKM

Nik Muhammad Rukaini Nik Mohd Kamal dan adik kembarnya, Nik Ahmad Ruzaini Nik Mohd Kamal semasa mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehilangan seorang ibu akibat barah lidah tahun lalu tidak memadamkan impian sepasang kembar dari Jitra, Kedah untuk menyambung pengajian ke menara gading, malah menjadi pendorong utama mereka berdiri tegak sebagai pelajar baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2026/2027.

Nik Muhammad Rukaini Nik Mohd Kamal dan adik kembarnya, Nik Ahmad Ruzaini Nik Mohd Kamal merupakan antara lapan pasangan kembar yang berdaftar sebagai pelajar baharu UKM tahun ini, sekali gus meneruskan pengajian bersama-sama di Fakulti Pengajian Islam (FPI) serta ditempatkan di kolej kediaman yang sama, Kolej Rahim Kajai.

Menurut Nik Muhammad Rukaini, pemilihan UKM sebagai destinasi melanjutkan pelajaran dipengaruhi kenangan bersama arwah ibu mereka, yang pernah bercerita mengenai UKM ketika mereka melalui kawasan berdekatan kampus itu semasa hayatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejayaan kami berdua melangkah ke universiti merupakan detik yang amat bermakna kerana ia adalah hasrat terakhir arwah ibu mereka yang meninggal dunia tahun lalu akibat barah lidah yang mula dihidapinya sejak 2011.

“Kami berada di sini bukan disebabkan kehebatan kami. Kami berada di sini dengan berkat doa-doa ayah dan ibu, doa-doa guru-guru kami.

Kata Muhammad Rukaini, ibu mereka pernah diserang barah tersebut pada tahun sebelum ini dan sembuh daripada barah lidah selepas menjalani rawatan, namun penyakit itu kembali menyerang pada tahun lalu sehingga membawa kepada kematiannya,” katanya kepada Utusan Pelajar.

“Ibu dan ayah kami menghantar kami ke tahfiz seawal lima tahun sehingga 21 tahun sebelum kami melanjutkan pengajian diploma ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya.

Sementara itu, adik kembarnya, Nik Ahmad Ruzaini Nik Mohd Kamal berkata, beliau bersyukur kerana terpilih menjadi mahasiswa UKM, sekali gus berharap dapat membuktikan pelajar lepasan tahfiz turut mampu mencapai kejayaan di peringkat akademik tertinggi.

“Kalau ikutkan, lepasan tahfiz ini sering dikatakan tiada asas akademik. Saya nak buktikan kepada semua yang hafal Quran di luar sana, tidak mustahil untuk kalian semua daripada hafiz tahfiz boleh berjaya sampai ke menara gading,” katanya.

Menurut Nik Ahmad Ruzaini, mereka merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik, dengan seorang kakak sulung dan seorang abang yang lebih tua, manakala dua orang adik lelaki.

“Saya berharap pelajar lain, khususnya daripada latar belakang tahfiz, tidak mudah berputus asa walaupun berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan sistem akademik di peringkat universiti.

“Kalau di awal tu kita main-main, ia akan memberi kesan di penghujungnya. Jadi tips saya untuk adik-adik tahfiz, walaupun di universiti, berjuanglah di awal nanti kita akan dapat kemanisannya di pengakhiran, insya-Allah,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×