KAJANG: Kawalan keselamatan di hadapan perkarangan Penjara Kajang diperketat susulan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, didakwa mendapat tahanan rumah hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati petugas keselamatan penjara turut mengadakan sekatan di hadapan jalan menuju pintu utama Penjara Kajang bagi memastikan petugas media tidak melepasi pagar utama.
Petugas media hanya dibenarkan menunggu dan berada kira-kira 10 meter dari pintu pagar utama Penjara Kajang.
Isu pengampunan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali menjadi perhatian susulan laporan media bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat semula setelah seminggu selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat 11 September lalu.
Laporan itu turut mendakwa mesyuarat berkenaan hanya mempunyai satu perkara dalam agenda, iaitu permohonan pengampunan Najib.
Pada 11 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.-UTUSAN










