KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya agar Mahkamah Tinggi di sini mendengar dan memutuskan beberapa isu awalan berkait dengan kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas berhubung dakwaan serangan seksual.
Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan ketika membaca penghakimannya juga memutuskan bahawa isu awalan itu dijalankan secara viva voce (keterangan lisan) dan secara dalam talian Zoom.
Tambahnya, demi kepentingan keadilan, prosiding yang akan berjalan secara Zoom itu akan memastikan bahawa prosiding boleh berjalan dan kedua-dua pihak boleh menyertainya tidak kira sama ada Muhammed Yusoff balik ke Malaysia atau tidak.
Muhammed Yusoff kini berada di United Kingdom (UK) selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan di akhir kes pendakwaan pada 12 Jun 2025 dan telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia dari negara berkenaan.
Antara isu awalan yang dimohon oleh Anwar agar didengar dan diputuskan terlebih dahulu adalaj berhubung pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadi Anwar pada hari kejadian iaitu pada 2 Oktober 2018 dan sama ada isu awalan diputuskan melalui afidavit atau prosiding jarak jauh.
Selain itu, isu awalan yang perlu diputuskan ialah sama ada Muhammed Yusoff bergerak bersama bekas pegawai keselamatan Anwar, Norafee Ahmad @ Dekdi dari pejabat Anwar di Petaling Jaya ke kediaman Bukit Segambut sekitar pukul 3 petang pada hari yang sama.
“Sekiranya isu-isu awal tersebut dijawab berpihak kepada defendan (Anwar), tuntutan plaintif (Muhammed Yusoff) akan berakhir. Sebaliknya, jika ia dijawab berpihak kepada plaintif, dapatan tersebut adalah muktamad dan perbicaraan yang diteruskan kelak akan dihadkan kepada dakwaan serangan seksual dan/atau pencerobohan sahaja.
“Sama ada isu-isu awal tersebut dijawab dalam apa cara sekalipun, terdapat penjimatan masa dan kos yang ketara,”katanya.
Selain itu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin menyatakan akses kepada prosiding yang akan dijalankan secara Zoom itu adalah bergantung kepada budi bicara hakim yang akan mendengar kes itu kelak.
Bagaimanapun, pada pandangan hakim itu yang akan berpindah ke Ipoh, Perak November ini, media perlu dibenarkan untuk menyertai dan membuat laporan terhadap prosiding itu.
“Wakil-wakil yang diiktiraf (accredited representatives) bagi setiap pihak juga patut dibenarkan hadir. Dalam hal ini, saya mesti menegaskan bahawa, pada pandangan saya, prinsip keadilan terbuka (open justice) tidak memerlukan pendengaran Zoom tersebut dibuka kepada jumlah penonton yang ramai.
“Sama seperti bilik mahkamah fizikal yang hanya boleh menampung bilangan orang awam yang terhad, pendengaran secara jarak jauh tidak perlu menerima ribuan orang sebelum syarat-syarat keadilan terbuka dipenuhi.
“Kehadiran pihak media adalah memadai untuk memenuhi prinsip keadilan terbuka di samping membolehkan perbicaraan dijalankan secara teratur,” ujarnya.
Menurut saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff, serangan seksual terhadapnya berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini iaitu kira-kira empat tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Plaintif mendakwa, akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.
Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang bersama keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.
Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










