Gesaan Ahmad Zahid pertahan maruah UMNO, bukan kerana emosi

Gesaan Ahmad Zahid pertahan maruah UMNO, bukan kerana emosi

NOORYANA Najwa Najib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan didorong oleh emosi, sebaliknya dibuat atas tanggungjawab mempertahankan maruah parti dan mengangkat suara akar umbi.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib berkata, sejak Pilihan Raya Umum lalu, UMNO memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, parti itu turut menunaikan tanggungjawab bagi memastikan kerajaan kekal stabil demi kepentingan negara.

“Namun, persahabatan dan kerjasama politik yang ikhlas mesti berlandaskan rasa hormat, kejujuran, keadilan dan kepercayaan dua hala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nooryana mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan atau memandang rendah terhadap komitmen diberikan UMNO.

“Jangan sampai kesabaran UMNO dianggap sebagai kelemahan atau keikhlasan kita dalam mempertahankan kestabilan diambil mudah,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO supaya tidak bertindak mengikut emosi.

Beliau berkata, pemimpin parti yang berada dalam Jemaah Menteri perlu memberikan tumpuan kepada kepentingan negara terlebih dahulu.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap gesaan Ahmad Zahid yang mencabar mana-mana pihak yang mahu UMNO menamatkan kerjasama dalam kerajaan Pusat supaya membubarkan Parlimen atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×