PERCUBAAN tiga kali untuk memperoleh Biasiswa Chevening tajaan kerajaan United Kingdom (UK) akhirnya membuahkan hasil buat anak jati dari daerah Tawau apabila terpilih sebagai antara 20 rakyat Malaysia yang menerima biasiswa berprestij itu tahun ini.
Nurfarhani Abdul Japar, 32, berjaya meraih biasiswa berkenaan selepas bersaing dalam permohonan yang membabitkan 108,959 pemohon dari seluruh dunia.
Dia yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana (Master) Sains Sosial Dasar Awam dan Pengurusan di Universiti Glasgow Scotland, United Kingdom.

Nurfarhani berkata, pilihannya melanjutkan pengajian dalam bidang itu didorong pengalaman hampir sembilan tahun bekerja dengan melaksanakan pelbagai program komuniti bersama golongan rentan di beberapa kawasan pedalaman Sabah termasuk daerah Tongod, Paitan, Pitas, Sook, Nabawan, Sugut dan Beluran.
itu membolehkannya melihat sendiri pelbagai isu yang dihadapi masyarakat termasuk jurang kemiskinan, akses pendidikan dan bekalan air bersih yang tidak dinikmati secara sama rata.
“Walaupun t

erdapat pelbagai dasar dan program bantuan yang baik, pelaksanaannya tidak dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.
“Sebab itu saya mahu mendalami bagaimana sesuatu dasar dapat dilaksanakan dengan lebih adil dan berkesan supaya tidak ada jurang antara dasar dengan realiti kehidupan masyarakat, khususnya di Sabah,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Anak pertama daripada sembilan adik-beradik itu turut bercita-cita untuk mewujudkan program komuniti khusus untuk anak muda di daerah Tawau mengikut pendekatan dan pemikiran generasi terkini.
Katanya, ramai anak muda di daerah itu mempunyai bakat dan potensi, namun sebahagian daripada mereka berdepan kekurangan peluang atau tidak mengetahui saluran yang boleh membantu mengembangkan kebolehan masing-masing.
“Dengan kedudukan saya sebagai salah seorang penerima Biasiswa Chevening, saya berhasrat untuk mendapatkan dana dari luar negara bagi menaja sebuah program khusus untuk anak muda.

“Matlamat saya adalah untuk melahirkan generasi muda yang yakin dengan diri, berdaya saing, dan mampu menjadi pemimpin komuniti yang membawa perubahan positif bagi negeri Sabah,” ujarnya.
Ditanya berhubung kriteria bagi mendapatkan biasiswa berprestij itu, Nurfarhani berkata, ia tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pengalaman kerja, kepimpinan, jaringan profesional dan perancangan kerjaya calon.
Katanya, antara syarat utama adalah pemohon perlu berasal dari negara yang layak, memiliki ijazah yang membolehkan mereka mengikuti pengajian ijazah sarjana di United Kingdom (UK) dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman kerja selepas menamatkan ijazah sarjana muda.
“Pemohon juga perlu menulis esei berkaitan kepimpinan, jaringan profesional, pemilihan kursus dan universiti serta pelan kerjaya yang jelas untuk disumbangkan semula kepada negara asal.
“Nasihat saya, jangan biarkan rasa tidak cukup layak atau kurang peluang menghalang diri sendiri untuk mencuba. Ramai penerima biasiswa berprestij bermula dari latar belakang yang sederhana, tetapi mereka berjaya kerana usaha, strategi, dan keyakinan diri,” jelasnya.
Dia turut berkongsi bahawa faktor jarak, bekalan elektrik dan capaian internet antara cabaran besar yang perlu dihadapi pemohon daripada Sabah.
Menurutnya, pengalaman itu memberi kesedaran bahawa akses kepada kemudahan asas dan sumber maklumat yang baik boleh memberi kelebihan kepada sesetengah golongan sedangkan tidak semua anak muda menikmati peluang yang sama.
“Saya masih ingat ketika menghadiri temuduga secara dalam talian, saya sangat bimbang jika berlaku gangguan bekalan elektrik atau sambungan internet terputus.
“Saya juga memilih temu duga secara dalam talian kerana kos untuk ke Kuala Lumpur agak tinggi hanya untuk sesi kira-kira 30 minit. Alhamdulillah saya dapat menempuhi temu duga itu dengan lancar dan berjaya terpilih.
”Pengalaman itu juga yang mendorong saya untuk terus maju dan menyumbang ke arah membina Sabah yang lebih baik apabila tamat pengajian di United Kingdom nanti,” katanya.-UTUSAN











