KUALA LUMPUR: Dua penghantar barang masing-masing dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar dadah kanabis seberat 139 kilogram (kg), empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas mendapati tertuduh, S. Mohan, 38, dan Ahmad Shamil Abdul Rashid, 28, bersalah terhadap pertuduhan itu di akhir pembelaan.
“Tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan (edar dadah). Hukuman penjara dikenakan selama 30 tahun dan sebatan sebanyak 12 kali ke atas kedua-dua tertuduh,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 31 Mei 2022.
Mengikut pertuduhan, Mohan dan Ahmad Shamil didakwa bersama-sama mengedar dadah kanabis seberat 139.02kg di sebuah kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah, di sini, pada pukul 2 petang, 31 Mei 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh sebat minimum 12 kali.
Menurut fakta kes, pihak polis telah menjalankan pemerhatian di pusat beli-belah tersebut dan mendapati kedua-dua tertuduh sedang memindahkan beberapa beg serta paket plastik dari sebuah Toyota Vellfire ke dalam sebuah Proton Preve.
Semasa serbuan dijalankan, Ahmad Shamil sempat melarikan diri dengan Toyota Vellfire berkenaan sebelum ditangkap di kawasan berhampiran dan dibawa kembali ke lokasi kejadian.
Pemeriksaan ke atas Toyota Vellfire tidak menemui sebarang dadah, namun pemeriksaan lanjut ke atas Proton Preve telah menjumpai dadah yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.
Timbalan Pendakwa Raya, Zaileen Nadia Zubir mencadangkan hukuman pemenjaraan selama 30 tahun mengambil kira jumlah berat dadah yang terlibat.
Mewakili Mohan dan Ahmad Shamil, peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin serta Muhammad Faiz Fadzil memohon pertimbangan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira tempoh kedua-dua tertuduh berada di dalam tahanan sejak tahun 2022.- UTUSAN











