Anak pesawah tekad masuk UiTM tanpa kewangan kukuh

Anak pesawah tekad masuk UiTM tanpa kewangan kukuh

NABILAH Ruslan (tengah) bersama ibu dan bapa semasa menerima sumbangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3rd Force Pasir Mas di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang anak pesawah bertekad menyambung pelajaran ke Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor meskipun tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menampung kehidupan sepanjang berada di sana.

Nabilah Ruslan, 20, berkata, tindakan itu dibuat selepas pihak UiTM bersedia menanggung yuran pendaftaran sekali gus meringankan beban keluarganya.

Katanya, pendapatan ba­panya, Ruslan Muhammad, 44, yang mengusahakan sawah secara menyewa tanah orang dan memperoleh kira-kira RM3,000 daripada hasil jualan padi bagi setiap musim menambah kesukaran untuk berbuat demikian.

“Ibu tidak bekerja, jadi pendapatan keluarga bergantung sepenuhnya kepada ayah. Per­belanjaan untuk saya masuk ke UiTM agak besar untuk disediakan ayah.

“Selain itu, ayah perlu menanggung tiga lagi adik saya yang masih belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3rd Force Pasir Mas.

Nabilah bertekad untuk menerima tawaran tersebut kerana yakin hanya pelajaran mampu mengubah masa depan keluarga ke arah lebih baik selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Seramik Perindustrian kelak.

Katanya, disebabkan itu dia akan berusaha sebaik mungkin dan tidak menghampakan harapan keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah saya akan menaiki bas bersama sepupu untuk menumpang di rumah saudara sebelum melapor diri di UiTM.

“Ikutkan hati saya hendak ayah dan ibu hadir sama, namun disebabkan masalah kewangan impian itu terpaksa dikuburkan” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun BSN milik Nabilah di nombor 4059986152094134. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×