Universiti perlu tawar lebih banyak kursus terapi autisme

Universiti perlu tawar lebih banyak kursus terapi autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti perlu memainkan peranan dalam menawarkan bidang jurupulih perubatan cara kerja (OT) dan juruterapi percakapan (ST) bagi memastikan keperluan pakar terapi autisme mencukupi.

Pakar Klinikal Psikologi kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, bilangan siswazah yang dikeluarkan dalam bidang ini terlalu rendah untuk menampung bilangan kanak-kanak autisme di negara ini.

“Bilangan pakar dalam bidang OT dan ST untuk kanak-kanak autisme ini tidak ramai di klinik kerajaan ataupun hospital kerajaan.

“Kenapa tidak ramai itu, kita tengok balik kepada jumlah universiti yang mengeluarkan graduan-graduan dalam bidang OT dan juga ST hanya beberapa universiti sahaja.

“Bayangkan kita ada lebih daripada 30 universiti awam dan universiti swasta, hanya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sahaja ada kursus ini. Itu pun bukannya kedua-dua bidang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kanak-kanak autisme terpaksa menunggu enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan sesi terapi di kemudahan kesihatan awam berikutan kekurangan tenaga pakar dan petugas kesihatan.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang memberitahu, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 14 pakar subkepakaran perkembangan kanak-kanak termasuk enam yang masih menjalani latihan bagi menampung keperluan puluhan ribu kanak-kanak di seluruh negara.

Noor Aishah berkata, bidang kursus ini perlu segera diperbanyakkan di semua universiti serta diwujudkan kursus jangka pendek bagi menangani krisis kekurangan pakar dan mengurangkan tempoh menunggu kanak-kanak autisme. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×