‘Setahun tidak dengar suara Nuh menangis’

‘Setahun tidak dengar suara Nuh menangis’

ABDULLAH Hashim dan Siti Nur Najwa Zamrifaizal memberikan susu khas kepada Muhammad Nuh Alfateh sebagai sebahagian keperluan pemakanannya di Kampung Balok, Kuantan, Pahang semalam. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Saya cuma mahu dengar suaranya menangis dan ketawa semula.”

Itu harapan seorang ibu, Siti Nur Najwa Zamrifaizal, 23, dari Kampung Balok, di sini yang sudah setahun tidak mendengar suara anak keduanya, Muhammad Nuh Alfateh Abdullah, 2, menangis selepas melalui beberapa siri intubasi dan prosedur trakeostomi akibat masalah pernafasan yang serius.

Muhammad Nuh Alfateh atau mesra dipanggil Nuh dilahirkan tidak cukup bulan ketika kandungan ibunya mencecah 34 minggu sebelum disahkan menghidap sindrom down.

Selain dilahirkan tanpa lubang anus, pemeriksaan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) turut mendapati kanak-kanak itu mengalami jantung berlubang, laryngomalacia dan masalah pada paru-paru.

Ketika berusia dua hari, Muhammad Nuh Alfateh menjalani prosedur membentuk stoma bagi membolehkan proses pembuangan najis dilakukan melalui beg stoma.

Siti Nur Najwa berkata, Muhammad Nuh Alfateh menghabiskan kira-kira lima bulan di NICU sebelum dibenarkan keluar, namun hanya kira-kira 20 hari di rumah sebelum terpaksa kembali mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) berikutan jangkitan kuman dan masalah pernafasan.

“Sepanjang berada di PICU, dia melalui beberapa episod kritikal termasuk menjalani proses intubasi sebanyak lima hingga enam kali. Intubasi terakhir, doktor merancang melakukan trakeostomi kerana keadaan pernafasannya.

“Dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan itu, anak saya empat kali menjalani Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Sebagai ibu, memang tidak dapat digambarkan perasaan melihat anak sendiri dalam keadaan begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Siti Nur Najwa, perkara paling meruntun hati­nya adalah perubahan suara Muhammad Nuh Alfateh selepas melalui proses intubasi dan trakeostomi.

“Dulu dia ada suara namun selepas intubasi, suaranya hilang. Sampai sekarang kalau dia menangis pun tiada suara. Sudah setahun saya tidak dengar suaranya menangis. Saya sangat rindu hendak dengar suaranya,” katanya.

Siti Nur Najwa kini tidak be­kerja dan menjadi penjaga sepenuh masa kepada Muhammad Nuh Alfateh manakala suami­nya, Abdullah Hashim, 26, be­kerja sebagai penjual ikan.

Mereka yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0699541000311601 atas nama Siti Nur Najwa Zamrifaizal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×