KUALA LUMPUR: Empat beranak yang dirempuh oleh lori Jabatan Imigresen dipercayai berada di kawasan selamat iaitu persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail untuk melintas jalan sebelum berlaku kemalangan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mereka berada di pembahagi jalan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail dari arah Medan Tuanku yang berhadapan dengan Maju Junction untuk menuju ke arah Jalan Chow Kit kira-kira pukul 1 pagi.
Lori Imigresen yang datang dari arah bangunan Wisma FGV dengan menyalakan lampu beacon kemudian secara tiba-tiba memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika lampu isyarat trafik masih merah.
Lori itu kemudian dilanggar oleh sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah Chow Kit dan menuju ke arah Maju Junction.
Akibat rempuhan itu, tiga daripada ahli keluarga terbabit mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika kejadian semua mangsa berada di kawasan selamat untuk melintas jalan.
“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada di kawasan selamat untuk melintas jalan namun mereka dirempuh lori Imigresen.
“Semua sedia maklum, sistem CCTV di kawasan berkenaan adalah ditahap terbaik dan mampu membantu kita menjalankan siasatan sewajarnya.
“Pada masa ini, pemandu lori Imigresen berkenaan ditahan reman untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pemandu lori dan pemandu kereta masing-masing direman sehari sehingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian berlaku pukul 1 pagi itu, tiga daripada empat sekeluarga maut selepas dirempuh sebuah lori Imigresen yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi.
Isteri mangsa berusia 55 tahun yang juga ibu kepada dua anak perempuan berkenaan cedera di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki kemudian dikejarkan ke zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Mereka dipercayai berasal dari Kampar dan sedang bercuti di ibu negara.
Difahamkan terdapat seorang lagi anak mangsa tidak mengikut percutian mereka ketika kejadian.- UTUSAN











