PETALING JAYA: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) mengesahkan salah sebuah ambulans cawangannya yang sedang membawa seorang pesakit terlibat dalam kemalangan di Jasin, Melaka petang tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertubuhan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung nahas tersebut.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak berkaitan bagi mendapatkan dan mengesahkan butiran terperinci berhubung insiden berkenaan,” katanya.
BSMM turut memaklumkan siasatan mengenai sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala organisasi itu komited memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
BSMM menegaskan maklumat lanjut belum dapat dikongsikan memandangkan proses pengumpulan dan pengesahan fakta masih berjalan.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans sebuah syarikat swasta pada petang tadi. – UTUSAN










