KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyeru rakyat Malaysia untuk mengembalikan tunjang nilai kemanusiaan dan empati dalam mendepani dunia yang semakin berdepan dengan perpecahan serta polarisasi.
Pengerusi Kebangsaan BSMM, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, falsafah kemanusiaan seharusnya tidak hanya terhad kepada petugas beruniform, sebaliknya perlu dipupuk dari dalam institusi keluarga.
“Kemanusiaan bermula dari rumah. Nilai kemanusiaan adalah empati untuk semua iaitu memberi kefahaman atas kesusahan orang lain dan membantu meringankan beban mereka.
“Dalam dunia sekarang yang kita lihat banyak perpecahan, kita di Malaysia perlu mengutamakan kesatuan masyarakat dan kenegaraan. Kita perlu merapatkan apa yang kita boleh di peringkat sekolah, kawasan perumahan dan rumah itu sendiri,” katanya pada Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman.
Mengenai penglibatan BSMM dalam konflik global dan bencana tempatan, beliau menegaskan prinsip utama organisasi itu adalah tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang tanpa mengira agama, bangsa mahupun kewarganegaraan.
“Bagi bantuan jangka panjang, kami turut membuat permintaan ke peringkat antarabangsa melalui Ibu Pejabat Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Geneva untuk menyalurkan bantuan tunai bagi membantu mangsa membina semula kehidupan mereka.
“Selain bantuan fizikal, BSMM turut memberi penekanan kepada aspek kesihatan mental menerusi unit Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) bagi membantu kanak-kanak dan mangsa yang mengalami trauma akibat bencana,” katanya.
Sementara itu, Danial Iskandar berkata, peranan BSMM sebagai badan tambahan kepada kerajaan terus diperkasakan menerusi pelbagai operasi besar tahun ini, termasuk respon terhadap banjir Monsun Timur Laut dan kebakaran di Sandakan.
“Tugasan kami adalah tugasan kemanusiaan yang digerakkan oleh sukarelawan.
“Apa yang lebih penting daripada sebarang penganugerahan adalah pengiktirafan masyarakat terhadap tanggungjawab kami dan sokongan berterusan kepada para sukarelawan untuk terus berkhidmat,” katanya. – UTUSAN








