Nilai kemanusiaan mesti terus dipupuk  - PM

Nilai kemanusiaan mesti terus dipupuk  – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai kemanusiaan tidak sepatutnya terhakis kerana wujudnya perbezaan tetapi mesti terus dipupuk melalui perasaan saling menghormati antara satu sama lain.

Peringatan itu diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Easter dengan merakamkan ucapan selamat kepada seluruh penganut Kristian di negara ini.

Beliau berkata, di balik makna luhur perayaan itu, tersirat erti kebangkitan yang menjadi seruan untuk memperbaharui jiwa dan nurani.

“Justeru, dalam mendepani pelbagai tantangan semasa, perayaan suci penganut Kristian ini mengingatkan bahawa nilai kemanusiaan tidak harus terhakis dengan perbezaan.

“Malah, nilai kemanusiaan mesti terus dipupuk sebagai asas peradaban yakni dengan menyantuni, merangkul dan memanusiakan antara satu dengan yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, perayaan Hari Easter diharap menjadi wahana yang menyemarak harapan, memperhalus budi, menyebar kasih sayang.

“Serta menyebar kasih sayang, memperkukuh iltizam dan tekad kita membina masyarakat yang kuat ihsannya, teguh jati dirinya, adil serta berjiwa besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN