ALOR SETAR: Sindiket love scam menyasarkan wanita di Jepun tumpas susulan penahanan tujuh warga China dalam serbuan di sebuah bangunan kedai di Taman Perindustrian Ringan Kristal, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak bulan lalu selepas merekrut suspek di China yang dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja.
Katanya, serbuan di bangunan yang dijadikan pusat operasi panggilan itu mendapati hanya seorang daripada tujuh suspek yang berusia antara 21 hingga 30 tahun memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka dijanjikan peluang pekerjaan di Malaysia dan diberikan tiket penerbangan sebelum ditempatkan di premis itu dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan mengikut peranan masing-masing.
“Sindiket berkenaan disyaki menggunakan aplikasi Langmate dan Line bagi mencari serta berkenalan dengan mangsa, khususnya wanita di Jepun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek akan menyamar sebagai lelaki tampan untuk menjalinkan hubungan cinta sebelum mengenal pasti mangsa yang berpotensi diperdaya.
“Operator hanya bertugas mencari dan mengenal pasti mangsa. Maklumat mangsa yang berpotensi diperdaya kemudian diserahkan kepada satu lagi pihak dalam sindiket itu untuk tindakan lanjut termasuk mendapatkan nombor akaun bank bagi memperdayakan mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, seorang daripada suspek bertindak sebagai penyelia manakala enam lagi berperanan sebagai operator yang berkomunikasi dengan mangsa.
Katanya, polis turut mengesan seorang warga tempatan yang dipercayai menguruskan penyewaan premis tersebut.
Adzli berkata, polis merampas 34 telefon bimbit, enam komputer riba, tujuh tetikus, lima papan kekunci dan pelbagai peralatan lain dianggarkan bernilai RM50,000 dalam serbuan itu.
“Setakat ini tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa kerana polis mengenal pasti kira-kira 19 mangsa berpotensi itu kesemuanya warga Jepun,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Polis Pulau Pinang dan Polis Antarabangsa (Interpol) sekiranya perlu bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi dari luar negara.
Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










