Pesara guru tidak mengaku amang seksual tujuh pelajar perempuan - Utusan Malaysia

Pesara guru tidak mengaku amang seksual tujuh pelajar perempuan

SEORANG pesara guru, Zaidi Abbas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan dalam kejadian antara Mei 2024 hingga Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pesara guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Langkap, antara Mei 2024 hingga Julai 2025.

Tertuduh, Zaidi Abbas, 56, membuat pengakuan demikian selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas guru Bahasa Melayu itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap tujuh pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun yang mana dia mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke Teluk Intan, selain di kantin dan sebuah bilik khas di sekolah berkenaan, antara Mei 2024 hingga Julai 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin terhadap Zaidi yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat kecacatan pada kaki kanan.

Beliau turut memohon supaya tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Koh Shean Wai bagaimanapun memohon agar jaminan ditetapkan pada kadar minimum RM1,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan lelaki terbabit mempunyai tanggungan empat orang anak yang masih bersekolah selain isteri dan ibunya.

Hakim Rafidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen ditetapkan pada 14 Disember depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini