KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa terbuka menerima pesara guru untuk memberikan khidmat kepakaran mereka atas kapasiti peribadi sekiranya diundang di mana-mana institusi di bawah kementerian itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, khidmat kepakaran berkenaan amat dialu-alukan dalam membantu memartabatkan mutu pendidikan negara.
Katanya, KPM melalui inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta dalam Pendidikan (PIBKS) sentiasa mempergiat sinergi antara institusi pendidikan KPM bersama semua pihak berkepentingan, termasuk menerusi pelaksanaan program sukarelawan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk pesara guru.
“Program sukarelawan tersebut dimanfaatkan melalui pelaksanaan aktiviti seperti mentor akademik, intervensi murid berkeperluan, bimbingan kepada guru baharu, perkongsian amalan terbaik pedagogi serta penglibatan sebagai penceramah jemputan mengikut bidang kepakaran masing-masing.
“Pendekatan itu bukan sahaja menyokong pemindahan ilmu antara generasi, malah memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam ekosistem sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator, Mohammad Redzuan Othman, mengenai usaha yang dilakukan oleh KPM dalam memanfaatkan guru-guru yang telah bersara, sama ada bersara wajib atau bersara pilihan, yang pernah menjadi guru pakar di sekolah supaya kepakaran mereka dapat dimanfaatkan.
Menurut Fadhlina, pelaksanaan tersebut adalah tertakluk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 3 Tahun 2018 yang membenarkan sekolah menerima sumbangan dalam bentuk kepakaran dan khidmat profesional.
Katanya, pelaksanaan tersebut perlu mematuhi garis panduan serta tatacara yang ditetapkan bagi memastikan tadbir urus, integriti dan akauntabiliti sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPM tidak menyambung perkhidmatan pesara bagi memberi peluang pekerjaan kepada graduan yang telah menamatkan pengajian selaras dengan dasar semasa yang ditetapkan oleh Agensi Pusat.
“KPM komited untuk terus memanfaatkan kepakaran pesara guru sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kualiti pendidikan negara selaras dengan aspirasi transformasi pendidikan serta pengukuhan sinergi bersama semua pihak berkepentingan.
“KPM sentiasa memberi perhatian terhadap kualiti mutu pendidikan serta memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN










